KDN tegas banteras jenayah pemerdagangan orang

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai peneraju Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) komited melaksana pelbagai bentuk tindakan bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang.

Tindakan melalui MAPO yang dianggotai 22 kementerian dan agensi itu selaras dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

- Advertisement -

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berkata MAPO juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan antarabangsa bagi memastikan usaha membanteras jenayah itu dilaksanakan secara kolektif dan komprehensif.

“Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat semalam, yang memberi fokus kepada aspek perlindungan mangsa pemerdagangan orang dan pencegahan dengan meningkatkan hukuman yang dikenakan,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dato’ Husain Awang di Dewan Negara, hari ini.

Husain yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, meminta kerajaan menyatakan perancangan KDN untuk menyelesaikan isu jenayah pemerdagangan manusia yang masih berleluasa di negara ini.

Menjawab persoalan ini, Hamzah berkata, antara hala tuju kerajaan bagi memperkasakan usaha membanteras pemerdagangan orang di negara ini ialah memberi penekanan kepada tindakan penguatkuasaan dan perundangan yang lebih tegas dalam isu pemerdagangan buruh yang dikatakan berlaku di sektor ekonomi seperti sarung tangan getah dan perladangan sawit.

Katanya, kerajaan juga memperkasakan usaha dalam aspek pencegahan dan perlindungan mangsa pemerdagangan orang melalui kerjasama erat dengan NGO, pihak industri serta mempergiatkan tindakan bersepadu antara agensi.

“Selain itu, kerajaan meningkatkan kapasiti, sumber dan kemahiran anggota penguatkuasa, pasukan pendakwa raya, pegawai pelindung serta entiti khusus di kementerian dan jabatan yang terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar dan hal ehwal pengoperasian berkaitan pemerdagangan orang,” katanya.

Hamzah berkata, kerajaan turut menambah baik sistem dokumentasi dan pelaporan berkaitan warga asing serta pengurusan golongan berisiko, termasuk pekerja asing secara holistik bagi memastikan kebajikan dan hak pekerja terutama pekerja asing dapat dilindungi.

Katanya, kerajaan juga melaksanakan sepenuhnya Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP 3.0) bersama pemegang taruh yang terlibat. – HARAKAHDAILY 16/12/2021

- Advertisement -