Kawal emosi bila menjatuhkan hukuman

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 23)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

KEADILAN tertegak berdasarkan iman dan penghayatan agama yang sebenar. Ia dibantu dengan akal yang cerdik. Namun ia akan terganggu disebabkan emosi yang tidak stabil, menjadikan hukuman yang dijatuhkan, keputusan yang dibuat dan tindakan yang diambil tersasar dari landasan keadilan.

- Advertisement -

Menyedari peri pentingnya perkara ini, Saidina Umar al-Khattab ra berpesan kepada Abu Musa al-Asy’ari ra dalam suratnya:

” وإياك والغضب والقلق والضجر والتأذي بالناس ، والتنكر عند الخصومة ، أو الخصوم – شك أبو عبيد – فإن القضاء في مواطن الحق مما يوجب الله به الأجر ، ويحسن به الذخر ” 

Maksudnya: Jaga-jaga dari sifat marah, bimbang, tidak tenteram, menyakiti manusia, berbalah ketika perbicaraan kes. Ini kerana menjatuhkan hukuman pada tempat sebenar ialah perkara yang menyebabkan Allah beri balasan pahala dan simpanan untuk akhirat.

Semua sifat yang disebutkan di atas- marah, bimbang, tidak tenteram, menyakiti manusia, berbalah- adalah sifat-sifat keji, sama ada dalam keadaan biasa, apatah lagi bila berada dalam keadaan penting seperti menjadi hakim, majistret dan orang tengah dalam sesuatu kes. Ia akan menyebabkan kezaliman berlaku kepada sesetengah pihak. Sifat zalim pula sangat ditegah oleh syarak.

Kata-kata Umar ini selaras dengan sabda Nabi SAW yang melarang para hakim menjatuhkan hukuman di antara dua orang dalam keadaan marah.

Sifat marah yang melampau dapat dilihat dari wajah yang berubah. Dari hening menjadi merah. Mukanya merah. Telinganya merah. Meruap-ruap punya darah. Dari seorang yang ‘cool’ berubah menjadi ‘Incredible Hulk’.

Benarlah Nabi SAW yang berpesan kepada seorang lelaki: ‘Jangan marah! Jangan marah! Jangan marah!’

Demikian juga perbahasan para ulama yang menegah hakim wanita menyelesaikan kes yang berkait dengan jenayah berat yang melibatkan nyawa dan darah manusia, terutama bagi yang masih ada ‘period’ haidnya kerana dibimbangi emosi yang tidak stabil ketika haid mengganggu akal yang waras hingga berlaku kezaliman dalam menjatuhkan hukuman.

Walaupun nasihat Umar di atas lebih ditujukan kepada hakim di mahkamah, ia juga sebenarnya peringatan secara umum kepada kita semua dalam bertindak dan membuat keputusan dalam pelbagai lapangan hidup. Akal yang waras, pandangan yang tajam, idea yang bernas semuanya jangan dirosakkan oleh emosi yang keji. Disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga. Disebabkan emosi buruk yang membara, rosak keputusan yang dibincang bersama. – HARAKAHDAILY 16/12/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -