Karnival Jamin Kerja sedia 1,838 peluang pekerjaan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 1,838 peluang pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja di Kelantan menerusi Karnival Jamin Kerja Peringkat Negeri yang akan diadakan secara fizikal serta dalam talian pada Selasa dan Rabu ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob berkata, 19 majikan akan terlibat pada karnival berkenaan dengan menawarkan lebih 70 jawatan di peringkat masing-masing.

Katanya, karnival itu dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Perkeso dan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii).

Tambahnya, objektif utama penganjuran karnival itu adalah untuk membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan terutamanya bagi jawatan yang kebiasaannya dimonopoli oleh pekerja asing.

“Karnival ini peluang yang baik untuk masyarakat di negeri ini selain ia memberi keutamaan kepada pencari kerja dalam kalangan warga Malaysia.

“Ia secara langsung akan mengurangkan kebergantungan pihak industri terhadap tenaga kerja asing,”ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Sambungnya lagi, antara majikan yang terlibat dalam karnival itu Fuji Seat (Malaysia), Ingress Precision, Toyota Asssembly Services dan Daihatsu Perodua Engine Manufacturing.

Tambahnya, jawatan yang ditawarkan seperti operator pengeluaran, eksekutif akaun, juruteknik, dan jurutera kualiti.

“Pencari kerja yang mahu menyertai karnival ini boleh membuat pra pendaftaran menerusi pautan https://bit.ly/karnivaljaminkerja dan berdaftar terlebih dahulu di portal pekerjaan negara, MYFutureJobs menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my.

“Maklumat lanjut berkaitan sesi temuduga di karnival boleh diperoleh melalui laman Facebook Perkeso Kelantan dan di aplikasi Telegram Kelantan Career Centre,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, tawaran itu diharap dapat memberi manfaat kepada ramai orang khususnya bagi mereka yang terkesan akibat Covid-19, agar dapat membina kerjaya baru sekali gus memberi pendapatan yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 16/12/2021

- Advertisement -