Jelajah PASAK salur info peluang pekerjaan

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan negeri mengambil pendekatan jangka pendek dan panjang dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi serta kehidupan rakyat pasca Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, usaha itu dilaksanakan melalui jelajah kerjaya bagi memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

- Advertisement -

Katanya, jelajah itu dianjurkan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di 12 daerah di Perak.

“Usaha itu antara langkah drastik dengan memfokuskan isu pengangguran yang kian meningkat akibat Covid-19.

“Pengangguran berlaku memandangkan ada syarikat terpaksa mengurangkan kos operasi dengan memberhentikan pekerja, mengurang gaji atau memberi cuti tanpa gaji,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Menurutnya juga PASAK turut memfokuskan penganjuran program rintis kemahiran, pemetaan kerjaya di sekolah menengah, eksplorasi kampus dan klinik kerjaya.

Kata beliau ia secara tidak langsung dapat membantu dalam pembangunan modal insan jangka panjang untuk rangka persediaan guna tenaga yang maksimum.

“Usaha yang berterusan dipergiatkan kerajaan negeri melalui PASAK khususnya membantu pencari kerja.

“Ia diadakan dengan kerjasama erat agensi-agensi berkaitan serta pemain industri,” katanya. – [Stratcom]

- Advertisement -