Tiga prinsip asas jayakan konsep penyatuan ummah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Istilah ‘mendominasi’ tidak pernah wujud dalam pemikiran kepimpinan PAS bagi merealisasikan agenda penyatuan ummah membabitkan tiga parti utama Melayu-Islam di negara ini.

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, konsep penyatuan ummah akan berjaya sekiranya berpegang kepada tiga prinsip asas di bawah payung syiar Islam.

Katanya, kepentingan menghayati prinsip keadilan Islam merupakan ciri penting dalam menyatukan parti-parti tersebut di bawah satu entiti.

- Advertisement -

“Kita mesti memahami penyatuan kita ini atas keadilan Islam, Islam ini rahmat terhadap seluruh alam, maka ia memberikan keadilan kepada semua.

“Kedua, kita satu Keluarga Malaysia, maknanya baik kita Melayu ataupun bukan bumiputera, semuanya dilindungi di bawah perlembagaan negara.

“Ketiga, menerima keadilan kepimpinan Islam maknanya boleh menerima kepimpinan Islam yang tidak ekstrem, maka PAS bukan satu parti yang ekstrem.

“Maka apabila boleh terima pada tiga kerangka itu, maka di situlah berlakunya penyatuan ummah,” katanya dalam Agenda Awani: Tujuh Dekad Perjuangan PAS, disiarkan secara langsung di Astro Awani, malam ini.

Memahami kewajipan bermasyarakat itu katanya, justeru hubungan sesama manusia perlu dikawal selia dengan menggunakan sistem keadilan Islam tersebut.

Katanya, kerjasama politik yang terjalin antara PAS dan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) merupakan suatu proses simbiotik.

Kata Khairil, ini kerana setiap parti mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Tambahnya, jika mereka disatukan dalam satu bumbung, lalu PAS mengambil pendekatan untuk bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain, ini menjadikan hubungan itu simbiotik.

“Dalam Perikatan Nasional (PN), sekarang ini bersama PN kita ada Bersatu yang mempunyai kekuatan tersendiri, kita ada parti Gerakan (Gerakan Rakyat Malaysia) dan kita ada rakan-rakan daripada Sabah iaitu SAPP (Parti Progresif Sabah) dan STAR (Parti Solidariti Tanah Airku).

“Tidak ada lagi perkataan dominasi dan menumpang,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Negara. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -