Terpaksa melalui batu kerikil 15 km ke Pekan Pusa

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

BATANG LUPAR:
Penduduk Kampung Batang Maro, Paloh yang mahu ke Pekan Pusa terpaksa melalui tidak berturap sejauh kira-kira 15 kilometer.

Jalan tersebut merupakan laluan alternatif selain menggunakan bot untuk ke pekan Pusa bagi membeli keperluan harian.

Tinjauan Harakahdaily mendapati jalan tersebut tidak berturap dan hanya menggunakan batu kerikir. Jalan itu juga dikelilingi ladang kelapa sawit dan pokok bakau.

- Advertisement -

Jalan sepanjang tersebut agak berbahaya terutamanya pada waktu malam.

Seorang penduduk, Othman Julaihi, 65 berkata, jalan tersebut yang tidak diturap dan terpaksa digunakan penduduk sejak lebih lima tahun lepas.

Katanya, jalan tersebut merupakan laluan alternatif selain menggunaan jalan sungai menggunakan perahu berinjin atau bot.

“Ini jalan baharu, alternatif dari Batang Maro ke Pusa, Beting Maro. Sudah lebih lima tahun kami guna jalan tersebut.

“Jadi, kami mohon supaya pihak kerajaan baiki dan turap dengan lebih sempurna supaya mereka lebih selesa dan selamat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya juga jalan berkenaan bukan sahaja tidak diturap malah terdapat tempat yang berlubang berbahaya kepada pengguna.

Othman juga berkata, masalah lain yang membelenggu penduduk kawasan berkenaan termasuk bekalan air bersih, kemudahan internet dan sistem perparitan tidak diselenggara.

Oleh itu beliau berharap pilihan raya negeri (PRN) kali ini membolehkan masalah tersebut diambil tindakan segera.

“Kami berharap masalah itu diselesaikan oleh wakil rakyat yang baharu memandangkan wakil rakyat yang lama tidak mampu laksanakan tanggungjawab itu,” jelasnya.

Ahmad Sarji Andang

Ahmad Sarji Andang, 30, dari Kampung Batang Maro turut berharap kerajaan mengatasi masalah yang sudah lama membelenggu penduduk di kampung terbabit terutamanya infrastruktur yang jauh ketinggalan.

Katanya juga penduduk turut berdepan dengan masalah hakisan pantai, kebajikan terabai dan kemiskinan rakyat perlu perhatian serius pihak berkuasa.

“Kami mahu isu jalan dan kemudahan asas di Batang Maro disegerakan kerana setiap kali pilihan raya, janji-janji harapan diberikan pemimpin politik.

“Malah, janji-janji semasa Pilihan Raya Negeri 2016 masih tidak ditunaikan sehingga sekarang,” ujarnya.

Oleh itu katanya anak-anak muda di Beting Maro berjanji akan membuat perubahan bagi memilih wakil rakyat baharu yang mampu menyelesaikan masalah penduduk.

Sementara itu calon PAS Dun Beting Maro, Mohamad Arifiziarul Paijo berkata, pihaknya akan mengambil tanggungjawab mengenengah isu yang dibangkitkan penduduk sekiranya diberi mandat Sabtu ini.

“InsyaAllah, perkara ini saya akan cuba ketengahkan kepada pihak berkenaan. Apa yang penting, suara rakyat mesti diketengahkan.

“Walaupun, kita bukan kerajaan yang memerintah tetapi kita boleh bersuara menuntut hak rakyat diberi perhatian, insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -