Tempat letak kereta: Masalah yang berterusan

- Advertisement -

MEREKA yang tinggal di pembangunan berstrata seperti pangsapuri sudah tentu memahami mengenai ‘peraturan’ yang tidak bertulis bagi mereka yang memiliki kenderaan. Bagi mereka yang memiliki kereta, van, MPV atau kenderaan-kenderaan lain, sudah tentu sedia maklum mengenai amalan agar tidak menarik ‘handbrake’.

- Advertisement -

Sekiranya terdapat kenderaan yang menghalang kenderaan yang ingin keluar, kenderaan yang menghalang itu akan ditolak ke kiri atau ke kanan untuk memberi laluan kepada kereta yang ingin keluar. Ini hanya boleh berlaku sekiranya kenderaan yang menghalang itu tidak ditarik ‘handbrake’. Dengan ‘peraturan’ ini, pemilik-pemilik boleh meletakkan kenderaan mereka secara ‘double-parking’ (dua lapis). Keadaan ini berlaku kerana petak tempat letak kereta (TLK) yang tidak mencukupi. 

Bilangan TLK untuk setiap pembangunan pada asasnya ditetapkan oleh undang-undang dan juga peraturan-peraturan yang diputuskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Ada PBT dan PBN yang mengenakan syarat-syarat mereka tersendiri. Ada pula yang memberi kelonggaran kepada Pembangunan Berorientasikan Transit atau Transit-Oriented Development (TOD) iaitu pembangunan yang berhampiran (jarak berjalan kaki) dengan terminal pengangkutan awam seperti stesen LRT atau MRT.

Bilangan TLK yang perlu disediakan adalah bergantung kepada harga jualan kediaman. Semakin tinggi harga jualan, semakin lebih banyak bilangan TLK yang perlu disediakan. Contohnya nisbah TLK yang perlu disediakan untuk pangsapuri kos rendah mungkin 1 TLK untuk setiap unit kediaman. Untuk kediaman kos yang lebih tinggi nisbah ini mungkin 2 TLK untuk setiap kediaman. Pemaju juga perlu menyediakan TLK untuk pelawat yang mungkin tambahan 10 hingga 20 peratus kepada TLK untuk penduduk. Selain dari itu terdapat pembangunan yang memberi pilihan kepada pembeli untuk membeli TLK tambahan.

Tetapi masalah akan timbul kerana pemilikan kereta ini tidak berkait dengan harga kediaman. Kediaman kos rendah 3 bilik mungkin disewa kepada 3 penyewa dan setiap dari mereka memiliki sebuah kereta. Atau terdapat keluarga dengan anak-anak yang telah bekerja dan turut tinggal bersama ibu bapa kerana tidak mampu membeli rumah atau menyewa di tempat lain. Setiap anak juga memiliki kereta sendiri. Justeru itu sudah tentu peruntukan 1 TLK untuk setiap kediaman tidak lagi mencukupi.

Perkara yang sama bukan sahaja berlaku di kediaman kos rendah tetapi juga di kediaman kos yang lebih tinggi. Walaupun lebih dari satu TLK disediakan namun terdapat penduduk yang memiliki lebih banyak kereta dari TLK yang diperuntukkan. Walaupun terdapat pemaju yang menawarkan pilihan untuk pemilik membeli TLK tambahan tetapi bukan semua yang akan membelinya.

Akibatnya penduduk akan meletakkan kereta mereka di jalan-jalan dan lorong-lorong di sekitar pembangunan mereka. Ada yang terpaksa berjalan kaki beratus-ratus meter untuk meletakkan kereta mereka. Kawasan-kawasan di sekitar kediaman berstrata apa sahaja kos selalunya akan penuh sesak dengan kenderaan-kenderaan. 

Jalan dua lorong akan menjadi satu lorong dan jalan tiga lorong akan menjadi satu lorong. Walaupun terdapat ‘peraturan tidak bertulis’ namun begitu perbalahan boleh berlaku. Terdapat juga pembangunan yang berhampiran dengan taman perumahan atau kampung di mana berlaku konflik di antara penduduk kedua-dua penempatan tersebut. Wakil rakyat, Ahli Majlis, MC, JMB dan JKKK terpaksa menanggung masalah tersebut. Tetapi apakah penyelesaiannya?

Penyelesaiannya adalah mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap kenderaan persendirian. Meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam. Ia bukan sahaja mengurangkan kesesakan tetapi juga mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau yang boleh mengakibatkan perubahan iklim. Tetapi hari ini kenderaan persendirian adalah satu keperluan. Ia bukan hanya dimiliki oleh mereka yang berpendapatan tinggi seperti di Singapura. 

Menurut satu kajian, peratus penggunaan kereta persendirian untuk hari bekerja bagi semua perjalanan di Kuala Lumpur adalah 48.3 peratus (2019). Di Hong Kong, ia adalah hanya 12 peratus, Seoul 23 peratus, Tokyo 12 peratus dan Osaka 13 peratus. Sistem pengangkutan yang berkesan adalah penyelesaian yang paling ideal tetapi akan mengambil masa dan melibatkan kos yang tinggi untuk disediakan. Mendidik rakyat agar menjadikan penggunaan pengangkutan awam satu budaya juga akan mengambil masa. Jadi apakah penyelesaiannya kepada masalah ini?

Ketika saya Exco Perumahan Negeri Selangor, saya pernah mencadangkan kepada pemaju agar menjual kediaman berstrata dengan bilangan TLK yang berbeza. Mungkin ada unit dengan 1 TLK dan ada unit dengan 2 TLK. Justeru itu harganya adalah berbeza-beza. Unit dengan 1 TLK adalah lebih murah dari 2 TLK. Walau bagaimanapun tiada jaminan mereka yang membeli unit dengan 1 TLK akan memiliki hanya 1 kenderaan. Mereka mungkin telah memiliki 2 kenderaan atau akan membeli kenderaan tambahan di masa akan datang. Akhirnya kenderaan-kenderaan ini akan diletakkan di luar pembangunan seperti di jalan-jalan, lorong-lorong atau kawasan lapang. Masalah yang sama akan terus wujud.

Pihak polis juga kadang-kala menyaman kenderaan-kenderaan penduduk yang diletakkan di tepi-tepi jalan atau lorong. Tetapi ia kelihatan tidak adil kerana penduduk tidak ada pilihan lain. Mungkin satu penyelesaian adalah untuk mewujudkan tempat letak kereta berbayar di tepi-tepi jalan atau lorong tersebut. Hanya mereka yang meletakkan kereta sesuka hati akan disaman. Ada juga penduduk yang menjadikan rizab sungai atau kawasan-kawasan lapang sebagai tempat letak kereta tambahan. Saya pernah menyokong satu usaha seperti itu ketika menjadi ADUN dahulu. Tetapi bukan semua pembangunan memiliki kawasan-kawasan itu.

Mungkinkah kerajaan patut memaksa pemaju menambah bilangan tempat letak kereta yang perlu disediakan? Di kawasan bandar di mana kos tanah adalah tinggi ia akan meningkatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pemaju. Kos ini semakin meningkat jika pemaju terpaksa menyediakan tempat letak kereta bertingkat. Kos tambahan ini akan meningkatkan harga rumah atau pemaju akan menurunkan kualiti pembinaan untuk menampung kos tambahan tersebut. Akhirnya rakyat juga yang akan rugi.

Penyelesaiannya adalah pada pengangkutan awam. Rakyat akan menggunakannya jika perkhidmatan yang disediakan adalah cekap, selesa dan menyeluruh. Tambahan pula jika tambangnya murah. Mungkinkah di satu hari nanti, rakyat Malaysia di bandar-bandar merasakan tidak ada keperluan lagi untuk memiliki kenderaan sendiri? Ketika itu mereka lebih selesa dengan LRT atau MRT. Dari Menteri kepada pekerja pembinaan akan menggunakannya. 

Ketika belajar di UK, saya pernah berjumpa dengan penyanyi lagu ‘Bohemian Rhapsody’ menaiki Tube (keretapi bawah tanah) di London. Saya juga pernah berjumpa dengan seorang pemain Manchester United menaiki Tube. Kita mahu rakyat Malaysia menjadikan pengangkutan awam sebahagian dari kehidupan mereka. Mungkin mereka memiliki kenderaan tetapi ia disimpan di tempat-tempat letak kereta khas jauh dari bandar. Mereka hanya menggunakannya pada hujung minggu atau untuk pergi bercuti. Untuk urusan seharian, mereka akan menggunakan pengangkutan awam. Caj letak kereta yang tinggi dan caj kesesakan (congestion charge) yang dikenakan ketika itu apabila memasuki bandar turut mempengaruhi mereka.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 15/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4973549269330697/

- Advertisement -