Syarikat penerbangan perlu benar pramugari bertudung

Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Ilvira Mohd Dasuki
- Advertisement -

KOTA BHARU: Secara dasarnya kerajaan menggariskan kebenaran bertudung kepada semua pekerja wanita Muslim, namun pelaksanaannya terhalang kerana sikap sesetengah majikan.

Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Ilvira Mohd Dasuki berkata, kerajaan sebelum ini meletakkan keutamaan sensitiviti kepelbagaian kaum dan agama dengan membenarkan pekerja berpakaian mengikut kepercayaan agama masing-masing.

- Advertisement -

Katanya, kebenaran itu diberi selagi mana tidak mengganggu keselamatan pekerjaannya.

“Yang menjadi isu sekarang ialah majikan dan bukan kerajaan. Dalam kes syarikat penerbangan, untuk penerbangan komersial difahamkan belum ada kebenaran bertudung atau tidak bagi kakitangan wanita Muslim.

“Bagaimanapun kelonggaran menutup aurat diberi kepada pramugari Muslim yang bertugas dalam penerbangan sewa khas membawa jemaah haji dan penerbangan amal.

“Ia terbukti dengan bertudung sama sekali tidak menjadikan performance pramugari menurun,” katanya di sini.

Isnin lepas Harakahdaily melaporkan isu tersebut yang diketengahkan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara dengan desakan supaya kerajaan membenarkan pramugari Muslim bertudung.

Ilvira berkata, beliau menyokong supaya semua syarikat penerbangan memberi kelonggaran kepada pekerja wanita Muslim memakai pakaian menutup aurat.

“Ia bukan suruhan atau arahan majikan atau kerajaan tetapi kerana arahan Allah SWT. Lagi pun agama rasmi Malaysia ialah Islam, mengapa majikan masih belum boleh menghormati Perlembagaan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -