4 pelajar UTeM ke pertandingan Worldskills Shanghai 2022

- Advertisement -

MELAKA: Empat pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan WorldSkills Shanghai 2022 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan Shanghai, China, pada 12 hingga 17 Okt tahun hadapan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM Prof Dr Ghazali Omar berkata empat pelajar daripada Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) itu berjaya memenangi empat anugerah dalam bidang masing-masing di Anugerah Kecemerlangan WorldSkills Malaysia 2021, baru-baru ini.

- Advertisement -

“Pertandingan tersebut merupakan peluang dan pengalaman besar buat keempat-empat pelajar UTeM terlibat mempamerkan kemahiran serta kepakaran mereka dan tahniah diucapkan kepada pelajar terbabit dan kumpulan penyelia mereka yang telah berjaya mencapai kecemerlangan dalam pertandingan ini.

“Kemenangan yang diperoleh sekali gus menzahirkan bahawa mahasiswa UTeM atau dikenali dengan TUAH UTeM mempunyai pakej kemahiran dan kompetensi tinggi dalam bidang yang mereka pelajari selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelajar berkenaan ialah Low Zi Lun, penuntut Diploma Teknologi Maklumat bersama penyelianya yang merupakan pensyarah kanan FTMK, Yahya Ibrahim telah dinobat sebagai johan bagi kategori VirtualSkills Malaysia dalam bidang penyelesaian teknologi maklumat untuk perniagaan.

Katanya Muhammad Najmi Rosli yang merupakan mahasiswa Diploma Teknologi Maklumat bersama penyelianya yang juga pensyarah kanan FTMK, Shahril Parumo telah memenangi naib johan bagi kategori VirtualSkills Malaysia untuk bidang teknologi web.

Ghazali berkata pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian Komputer) Chia Jian Wei bersama penyelianya Prof Madya Dr Mohd Faizal Abdollah pula berjaya memenangi pingat perak bagi kategori III Khabarovsk International Skills Competition untuk bidang pentadbiran sistem rangkaian teknologi maklumat.

Selain itu, beliau berkata pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) Wan Muhammad Khairuddin Wan Ab Karim bersama penyelianya Dr Mohd Zaki Mas’ud memenangi pingat perak bagi kategori WorldSkills Malaysia University Challenge 2021 untuk bidang keselamatan siber.

Pertandingan WorldSkills Malaysia 2021 merupakan pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan bertujuan untuk memilih dan mengiktiraf belia atau pekerja mahir yang mempunyai kemahiran unggul serta membantu meningkatkan kemahiran tenaga manusia di negara ini ke peringkat bertaraf dunia. – BERNAMA

- Advertisement -