Ucapan pegawai SUHAKAM tidak beradab

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap Muslim perlu sedar agar setiap ucapan dan tindakan beradab kepada kepada Allah yang hukumnya wajib.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menegur ucapan seorang Pegawai SUHAKAM yang berpangkat Ketua Bahagian Undang-Undang dan Perjanjian Antarabangsa, Afiq M Noor dalam sebuah forum anjuran Sisters In Islam (SIS) apabila ucapannya menyebutkan “Tuhan tidak turun ke sidang DUN” ketika mengaitkan isi ucapannya dengan Kanun Jenayah Kelantan 2019.

Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, ucapan demikian jelas tidak beradab walaupun tujuan membuat bandingan dan gambaran.

- Advertisement -

“Ini kerana kedudukan Allah sangat mulia dan tidak boleh dibuat main dalam hal-hal sedemikian.

“Setiap Muslim perlu sedar mengenai ini agar setiap ucapan dan tindakan kita beradab kepada kepada Allah yang hukumnya wajib,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menruutnya, perbezaan ideologi dalam hal-hal berkaitan politik dan sistem pemerintahan bukan sesuatu yang sepatutnya dijadikan ruang untuk tidak beradab dengan Allah.

“Kita sedia maklum SIS yang mendukungi ideologi liberalisme adalah entiti yang sering mempertikaikan hukum yang jelas dalam Islam terutama yang melibatkan perbezaan gender,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya forum tersebut adalah untuk menunjukkan kebiadaban atau mahu membincangkan secara matang dalam hal yang dijadikan tajuk perbincangan.

“Jangan hanya pandai bersilat di gelanggang sendiri tetapi tidak berani berpencak dengan pesilat yang lain. Ini bukan forum perbincangan akademik namanya tetapi bacul,” katanya lagi.

Tambahnya, jika benar mahukan perbincangan lumat dan terperinci, perlulah bertanya kepada pihak kerajaan negeri Kelantan sendiri berhubung Kanun Jenayah 2019 bukannya hanya membuat forum sesama sendiri yang sudah membenci Islam dan menghentam dengan syok sendiri ke atas tindakan kerajaan negeri itu.

“Saya bertegas bahawa pegawai SUHAKAM seumpama ini adalah tidak beradab dan mesti bertaubat atas apa yang diucapkannya dalam forum anjuran SIS tersebut, manakala penganjuran forum pula usahlah berselindung atas nama forum sedangkan hanya syok sendiri bersama panel yang mesra dengan ideologi mereka sahaja,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -