Sistem semakan KPWKM kenal pasti pesalah jenayah seksual

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempunyai Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual yang membolehkan seseorang yang mempunyai rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak diketahui.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata sistem itu membolehkan ibu bapa, individu dan majikan yang hendak mengambil seseorang untuk menguruskan kanak-kanak, membuat semakan bagi memastikan individu tersebut tidak mempunyai rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

- Advertisement -

Katanya, penyelia sistem ini adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan sistem ini boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) berdekatan.

“KPWKM sentiasa memandang serius isu penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang merupakan salah satu kes jenayah seksual,” katanya menjawab soalan lisan Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong di Dewan Negara, hari ini.

Siti Zailah berkata, Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual adalah antara beberapa inisiatif yang dibangunkan untuk mengatasi isu penderaan seksual kanak-kanak.

Katanya, inisiatif lain ialah Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA) bagi memberi pendidikan dan pengetahuan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai keselamatan keluarga dan anak.

“Pengisian program ini yang merangkumi pengetahuan mengenai aspek keselamatan di rumah, luar rumah dan alam siber, memberi manfaat kepada 17,550 ibu bapa dan penjaga.

“Modul bagi program ini sedang ditambah nilai berkaitan komunikasi dan teknologi digital dengan komponen keibubapaan digital bagi memastikan pengawasan berkaitan dunia siber dan digitalisasi dapat diterapkan oleh ibu bapa kepada anak mereka,” katanya.

Bersesuaian dengan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Dunia Siber, katanya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai modul latihan pornografi dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Katanya, antara NGO berkenaan ialah Pertubuhan IKRAM Malaysia melalui modul Malaysia Against Pronography dan Persatuan WADAH Pencerdasan Umat Malaysia melalui modul Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP).

Siti Zailah berkata, satu program Bual Bicara Keselamatan dan Perlindungan Kanak-kanak telah diadakan oleh JKM bersama Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Kebangsaan (MPKK) secara webinar pada bulan Ogos dan September 2021.

Katanya, antara isu yang diberi keutamaan adalah isu gangguan seksual terhadap kanak-kanak, kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak semasa pandemik Covid-19, buli siber, penderaan domestik ketika dengan jumlah tontonan dan penyertaan mencecah 15,000 orang.

Bertepatan dengan pelestarian era digital, katanya satu kempen digital ‘Jangan Malu Ambil Tahu, Jangan Malu Bagi Tahu’ dijalankan pada tahun ini melalui media sosial dan media massa untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran berkaitan kesihatan reproduktif dan jenayah seksual kepada kanak-kanak dan remaja.

Menurutnya, seramai 7.4 juta orang daripada kalangan ibu bapa, pendidik dan remaja telah mendapat manfaat daripada kempen ini.

Selain itu, katanya kementerian melalui Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur menetapkan komitmen pemegang taruh utama di peringkat kerajaan, swasta, mahu pun NGO untuk meningkatkan advokasi Kesihatan Seksual Reproduk (SRH), termasuk isu jenayah seksual kepada kanak-kanak.

Katanya, pembangunan ‘Akademi Keluarga Sejahtera’ (AKS) di laman Facebook juga dijadikan platform pendidikan kekeluargaan bagi pihak kementerian dan agensi di bawahnya untuk mengupas topik semasa dan isu sosial berkaitan kumpulan sasar kementerian.

Menurutnya, AKS juga menjadi medium kepada ahli akademik dan pakar kekeluargaan untuk berkongsi ilmu kekeluargaan. – HARAKAHDAILY 14/12/21

- Advertisement -