Perak giat inisiatif jadi negeri hijau – Akmal

- Advertisement -

IPOH: Perak menyokong inisiatif ke arah pemuliharaan alam sekitar dengan berusaha meningkatkan keberkesanan sistem infrastruktur dan amalan teknologi hijau selaras komitmen Malaysia dalam perkara sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, antaranya usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dan strategi penanaman pokok.

- Advertisement -

Malah maklumnya, Perak menetapkan dasar gunaan gas asli sebagai peralihan penggunaan bahan bakar tidak mesra alam di semua industri, termasuk penguatkuasaan berkaitan terhadap pelepasan karbon oleh kenderaan.

Begitu juga beritahunya, terdapat dokumen Rancangan Struktur Perak 2040 berkaitan menjadikan aktiviti berbasikal dan berjalan kaki di kawasan bandar sebagai mood gerakan alternatif dan mobiliti rendah karbon.

Kupasan itu menjadi antara jawapan beliau kepada pertanyaan oleh Loh Sze Yee (DAP-Jalong) dalam Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.

“Isu pemanasan global merupakan perkara yang diambil perhatian oleh dunia terutamanya isu pelepasan karbon. Malaysia salah sebuah negara yang mengambil inisiatif ke arah pemuliharaan alam sekitar melalui beberapa projek dan program.

“Seperti Sustainable Development Goals, Green City dan juga Smart City selaras komitmen negara dalam Persidangan Iklim Paris 2015 bagi mengurangkan pelepasan karbon sehingga 45 peratus menjelang tahun 2030,” ujarnya.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga komited memperkukuhkan kerangka pelaksanaan insentif inisiatif rendah karbon dengan lebih sistematik sejajar dengan pelaksanaan rangka kerja bandar rendah karbon (LCCF).

Jelas beliau, pelbagai inisiatif dirangka antaranya ialah mengguna pakai garis panduan perancangan kejiranan hijau dalam perancangan pembangunan dan penyediaan laluan basikal dalam bandar dan kebun kejiranan dalam komuniti.

Juga penyediaan 10 peratus kawasan lapang bagi pembangunan baru, laksanakan kempen kesedaran kepada masyarakat contohnya Hari Tanpa Kenderaan, Program Hari Tanpa Beg Plastik, Program Kitar Semula dan E-Waste.

Begitu juga program penanaman pokok, pemasangan panel solar, kegunaan tenaga (NTT), mengalakkan penggunaan perkakasan yang lebih efisien khasnya di premis milik majlis sejajar dengan renewable energy dan efficient energy (EE).

Selain mensyaratkan penggunaan penuaian air hujan, pengkomposan sisa pelupusan serta menukar kepada baja organik untuk tanaman. 

Akmal turut mengemukakan perancangan kerajaan dalam penggunaan kenderaan eletrik sebagai gantian pengangkutan awam sedia ada iaitu teksi di Pulau Pangkor dan bas di Taiping.

Tambah beliau, ke arah pelaksanaan inisiatif rendah karbon itu, Perak telah menerima geran daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kepada setiap PBT sebanyak RM200,000 bagi memulakan usaha itu.

“Antaranya menyediakan lorong berbasikal, penukaran lampu LED, memasang sistem solar di pasar besar dan juga lain-lainlah. Jadi antara tumpuan kita ialah untuk mewujudkan stesyen mengecas itu sendiri,” maklumnya. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -