Pengeluaran hasil agromakanan Perak terjamin

- Advertisement -

IPOH: Perak merupakan negeri pengeluar hasil agromakanan utama negara di mana sentiasa memastikan bekalan mencukupi bagi pertanian, akuakultur dan penternakan bagi keperluan domestik, malah berlebihan untuk pasaran luar.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Razman Zakaria memberitahu, jaminan tersebut dijayakan melalui pengezonan terhadap setiap sektor tersebut di seluruh negeri itu.

“Zon ternakan dan Padang Ragut di 96 lokasi, zon akuakultur Tasik Temenggor kluster akuakultur Sungai Perak, zon industri akuakultur yang sedia ada seluas 19 372 hektar. Pusat Agropolitan Selama, Pengkalan Hulu, Parit Buntar, Seberang Perai dan Manong akan dioptimumkan penggunaannya. 

“Pengeluaran bagi buah-buahan komersial tanaman herba, penternakan difokuskan di daerah Perak Tengah, Larut Matang dan Selama, Batang Padang, Hilir Perak, Manjung , Kerian dan juga Hulu Perak,” ujarnya menjawab soalan Dato’ Samsudin Abu Hassan (BN-Ayer Kuning) pada Persidangan DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini Jumaat lalu.

Maklumnya, kebanyakan sayuran dan buahan utama telah mencapai sasaran sara diri yang melebihi 100 peratus keperluan domestik rakyat di negeri ini kecuali cili, tomato, kobis, rambutan, nenas, langsat, tembikai, durian, cempedak, nangka, mangga dan halia.

Perak juga beritahunya, adalah merupakan negeri utama di Malaysia dalam pendaratan ikan marin dan ikan air tawar bagi sektor perikanan yang menjadi punca utama bekalan makanan protein tersebut. 

Jelas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, pengeluaran bagi sektor perikanan melalui ternakan ikan akuakultur sehingga Oktober 2021 telah mencatatkan sebanyak 49,465 metrik tan ikan makan dengan nilai 502.22 juta. 

“Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dengan sasaran pengeluaran pada tahun 2022 iaitu 71,000 metrik tan. Jumlah pendaratan ikan marin bagi sektor perikanan tangkapan sehingga September 2021 adalah sebanyak 265,771.81 metrik tan. 

“Bagi memastikan sumber ikan tidak mengalami kepupusan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM150,000 di setiap tahun untuk melaksanakan program pelepasan benih ikan ke perairan umum dengan sasaran sebanyak 2 juta benih ikan dan udang akan dilepaskan diperairan umum pada tahun 2022. 

“Antara spesies ikan yang dilepaskan adalah ikan lampam, terbul, baung, temoleh, tongsan, jelawat, patin tengas, udang galah dan juga siakap. Program pelepasan ikan tersebut ini adalah tertumpu kepada spesis ikan asli, ikan asal yang berada di perairan yang berkaitan.

“Bagi mengeluarkan dan pengeluaran sektor ternakan tahun 2020 pengeluaran ternakan adalah seperti berikut daging lembu dan kerbau sebanyak 2708.72 metrik tan dengan kadar sara diri sebanyak 16.60 peratus rendah berbanding dengan keperluan kita dan susu lembu segar sebanyak 3.9 juta liter dengan kadar sara diri sebanyak 74.02 peratus. 

“Daging ayam dan itik sebanyak 345,920.92 metrik tan dengan kadar sara diri sebanyak 271.95 peratus lebih daripada keperluan 80 peratus. Telur ayam dan itik sebanyak 126,566.7 metrik tan dengan kadar sara diri sebanyak 227.24. 

“Daging kambing dan biri-biri sebanyak 89.66 metrik tan dengan kadar sara diri sebanyak 2.38 peratus kurang daripada 3 peratus pengeluaran atas keperluan rakyat negeri Perak. 

“Daging khinzir sebanyak 55,666.50 metrik tan dengan kadar sara diri 288.16 mempunyai lebihan keluaran untuk kegunaan domestik hampir 200 peratus,” ujarnya menerang jaminan kecukupan dan lebihan itu.

Untuk susu segar maklumnya, pengeluaran susu segar adalah sebanyak 74 peratus daripada keperluan dalam negeri di mana kekurangan ini akan dapat ditampung melalui Projek Lembu Tenusu Negara.

Projek di Daerah Larut Matang Selama itu menurutnya, dijangka boleh beroperasi pada tahun 2023 yang disasarkan pengeluarannya mencecah 13 juta liter. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -