PAS Melaka teguh di bawah kepimpinan ulama

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

BAGAIKAN PAS Kelantan di bawah kepimpinan Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Terengganu di bawah Tuan Guru Abdul Hadi Awang, itu yang penulis bayangkan apabila mendapat perkhabaran pelantikan Tuan Guru Zulkifli Ismail (TG Zulkifli) sebagai Pesuruhjaya PAS Melaka bagi sesi 2021-2023.

Umum tahu negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu memang tempat subur dengan tokoh-tokoh ulama terutama ulama-ulama haraki yang memimpin PAS. Melaka sudah tentu agak ketinggalan dari sudut ini.

PAS di Terengganu dan Kelantan khususnya sekian lama dipimpin oleh tokoh-tokoh ulama sejak dahulu lagi. Yang paling ikonik sudah pastilah kepimpinan Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz yang menjadi fenomena apabila dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan selepas gabungan PAS dan Semangat 46 memenangi Pilihan Raya Umum kelapan pada tahun 1990.

- Advertisement -

Dengan kedudukannya itu Almarhum Tok Guru berjaya membuktikan bahawa seorang ‘lebai’ berkain pelikat mampu mentadbir sebuah negeri dengan motto yang juga ikonik dan diingati sehingga sekarang iaitu ‘Membangun Bersama Islam’.

Kerana itu penulis dapat rasakan satu kesegaran dan semangat baharu bagi Negeri Melaka apabila PAS negeri ini dipimpin seorang tuan guru. Penulis percaya ahli-ahli PAS Melaka yang lain pun sependapat dengan penulis dalam merasakan semangat dan auranya.

Satu perkara yang penulis lihat perlu diberi perhatian oleh TG Zulkifli ialah dalam soal penegasan semula terhadap jati diri ahli-ahli PAS di Melaka agar mereka tidak terikut-ikut dengan budaya parti lain.

Hubungan baik kita dengan beberapa parti rakan penulis nampak sedikit sebanyak ada membawa masuk budaya yang tidak baik yang meresap ke dalam PAS Melaka. Umpama seorang anak muda yang merantau ke negara Barat yang berlainan budaya dan norma menjadikan sesetengahnya terpengaruh dan tergoda.

Secara adilnya setiap parti ada sisi buruk dan baik. PAS juga bukan sempurna. Namun sebagai ahli parti Islam kita perlu mengambil contoh yang baik yang ada pada parti rakan dan tidak mengambil yang buruk.

Orang-orang PAS harus kekal dengan jati diri PAS yang asal yang telah dipegang sekian lama sehingga PAS di Negeri Melaka ini tetap bertahan semenjak merdeka walaupun kalah pada sekian pilihan raya, baik yang umum mahupun yang kecil. Kerana kekuatan jati dirilah yang membuatkan ahli-ahli PAS di Melaka terus berjuang tanpa rasa lelah dan kecewa.

Budaya buruk yang berlaku dalam parti-parti lain seperti melobi dan berkempen berlebih-lebihan semasa pemilihan dan membuat grand design mencatur siapa akan memimpin di kawasan-kawasan adalah budaya tidak baik yang tidak wajar menjadi ikutan orang-orang PAS.

Selain itu amilin PAS juga harus kekal dengan jati diri dan pengorbanan yang tinggi. Kita tidak mahu budaya meminta upah untuk melakukan kerja parti terutamanya kerja pilihan raya seperti yang biasa berlaku dalam sesetengah parti menular pula dalam PAS.

Kadangkala parti kita mempunyai lebihan dana memang ada sagu hati untuk petugas. Tetapi dalam banyak masa kita memang parti yang tidak mempunyai kemampuan kewangan yang besar seperti parti-parti kerajaan yang lain. Sebagai amilin dan petugas parti, biarlah kita mengambil sikap jangan meminta. Kalau ada, adalah, kalau tiada, tiadalah. Kecualilah untuk petugas sepenuh masa yang dijanjikan elaun.

Kerana itu pada pendapat penulis, pasukan kerja TG Zulkifli dalam Badan Perhubungan PAS Melaka (BPPNM) harus bekerja keras memelihara dan memulihara jati diri ahli-ahli PAS ini sehingga kita dapat membuktikan bahawa kita boleh berjaya dan maju walaupun kekal dengan jati diri kita selama ini.

Di samping itu isu dakwaan bahawa ada ahli yang ingkar arahan pucuk pimpinan parti untuk mengundi Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini juga perlu disiasat dengan teliti.

Ahli-ahli PAS Melaka seharusnya belajar daripada peristiwa keluarnya beramai-ramai ahli dan menubuhkan PAN dahulu kerana sikap mereka yang tidak  wala’ kepada presiden parti sendiri tetapi wala’ mereka pada presiden parti rakan.

Penulis tidaklah mahu mengatakan bahawa perkara-perkara ini bakal menjadi tugas berat kepada pasukan TG Zulkifli dan BPPNM. Bagi penulis semua tugas dan amanah memang sesuatu yang berat untuk dipikul oleh sesiapa sahaja.

Namun semua isu-isu perlu ditangani dengan bijak agar dapat membawa PAS ke era kemenangan yang sebenar-benarnya. Bukan dengan kemenangan yang sekadar meletakkan PAS hanya dipintu pagar. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -