Omicron: Britain umum kematian pertama

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson ketika membuat lawatan di pusat vaksinasi Stowe di London pada 13 Dis 2021. (FOTO AFP)
- Advertisement -

LONDON: Britain pada hari Isnin (13 Dis) mengesahkan apa yang dianggap sebagai kematian pertama yang disahkan akibat jangkitan varian Omicron, ketika negara itu melancarkan program suntikan penggalak Covid-19 dalam usaha memerangi penularan pandemik virus berkenaan yang masih belum mampu dikawal.

Perdana Menteri, Boris Johnson ketika dalam rangka lawatannya ke pusat vaksinasi di Barat London berkata, Omicron menyumbang kira-kira 40 peratus daripada kes jangkitan baharu Covid-19 di ibu negara Britain di sini, dan jumlah kemasukan ke hospital yang meningkat dengan drastik.

- Advertisement -

“Malangnya, sekurang-kurangnya seorang pesakit telah disahkan meninggal dunia akibat jankitan Omicron,” katanya kepada media, sehari selepas memberi amaran bahawa negara itu menghadapi ‘gelombang kebangkitan semula’ jangkitan Covid-19.

Sehubungan itu, sumber Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) memberitahu AFP: “Nampaknya ini (kes di Britain) adalah kematian pertama Omicron yang disahkan (di dunia).”

Namun, ECDC sebaliknya menegaskan banyak kes kematian akibat Covid-19  di seluruh dunia tidak dibuktikan dengan bukti saintifik jujukan genom, jadi ‘tidak mungkin untuk mengetahui sama ada kes di Britain ini adalah kematian Omicron pertama di dunia’.

“Di Afrika Selatan, lokasi Omicron pertama kali dikenal pasti, tiada kematian yang dikaitkan dengan Omicron telah diumumkan secara rasmi,” ujar ECDC.

Sehingga kini, Britain merupakan salah satu negara yang paling teruk dilanda virus pembunuh global berkenaan dengan 146,000 kes kematian sejak tahun lalu, dan pada Ahad (12 Dis) ia telah mengumumkan isyarat kecemasan susulan peningkatan semula kadar penularan Covid-19 di negara itu.

Johnson berkata dalam ucapan yang jarang disiarkan di televisyen bahawa langkah kecemasan diperlukan di Britain bagi mengelakkan hospital kembali sesak dengan mangsa-mangsa jangkitan Covid-19 pada minggu-minggu mendatang ini.

Semua populasi dewasa di negara itu kini boleh menerima suntikan penggalak vaksin menjelang akhir Disember ini, sebulan lebih awal daripada tarikh akhir yang diumumlkan kerajaan Britain sebelum ini. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -