Negara perlukan 2 juta ekor ayam sehari

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Purata keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak dua juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor sebulan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee, berkata jumlah itu bersamaan sebanyak 3,762 tan metrik sehari atau 113,220 tan metrik sebulan.

- Advertisement -

Katanya, pengeluaran ayam pada bulan Oktober lalu adalah sebanyak 52.05 juta ekor dan pengeluaran itu menurun kepada 51.4 juta ekor pada November lalu, iaitu kekurangan sebanyak 17.73 peratus berbanding keperluan sebenar.

Menurutnya, unjuran pengeluaran ayam pada bulan ini pula disasarkan sebanyak 61 juta ekor.

“Kekurangan bekalan ayam di pasaran antara lain disebabkan oleh peningkatan permintaan yang mendadak setelah pembukaan semula sektor ekonomi bermula pada bulan Oktober lalu,” katanya menjawab soalan Dato’ Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi mengatasi kekurangan berkenaan, Ronald Kiandee berkata kerajaan memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku sebagai langkah intervensi untuk memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.

Katanya, kebenaran pengimportan ini adalah sehingga 10,000 tan metrik sebulan atau bersamaan 5.5 juta ekor sebulan bagi tempoh mulai bulan ini hingga Februari tahun hadapan dan tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan.

Menurutnya, pengimportan bekalan ayam ini hanya dibenarkan dari loji penyembelihan luar negara yang telah disahkan dan diiktiraf oleh kerajaan.

“Langkah intervensi ini bersifat sementara sehingga bekalan ayam dapat distabilkan oleh industri ayam tempatan. Kementerian akan memantau pengimportan ini bagi memastikan hanya untuk menampung keperluan bekalan tanpa menjejaskan industri ayam tempatan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri ayam tempatan supaya memberikan komitmen untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran selaras dengan permintaan semasa dan yakin bekalan ayam tempatan di pasaran akan stabil menjelang Februari 2022. – HARAKAHDAILY 14/12/21

- Advertisement -