Media jadi agen pecah muafakat ummah

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

BATANG LUPAR:
PAS masih lagi bersama Muafakat Nasional (MN) dan mempertahan Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 14 September 2019.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, PAS masih lagi dengan MN cuma kadang kalanya pihak media tertentu yang cuba melaga-lagakan antara kedua-duanya.

Kata beliau Pakatan Harapan (PH) akan kembali semula berkuasa apabila kesepakatan Perikatan Nasional (PN) pecah.

“Apabila orang Melayu, Islam berpecah PH akan come back untuk berkuasa semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-15.

- Advertisement -

“Sebab itu, agen-agen media sedang memainkan peranan untuk memporak-peranda perpaduan di kalangan ummah di negara kita. PAS tetap akan menjadi pendamai antara Umno dan Bersatu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian kepada Harakahdaily, selepas lawatan kempen bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro Kampung Beladin, di sini, hari ini.

Piagam Muafakat Ummah ditandatangani Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Himpunan Penyatuan Ummah, di PWTC.

Dalam Piagam Muafakat Nasional itu, Umno dan PAS menyatakan komitmen kedua-dua parti itu untuk menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang menjamin Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

Selain itu memperkukuh Muafakat Nasional melalui perbincangan melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya.

Memperkasa agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan negara sejahtera. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -