Israel bersama senjata pemusnah

NEGARA haram Israel ialah negara yang paling lantang menentang kewujudan senjata pemusnah di Asia Barat, semata-mata atas nama menjaga keselamatan dan keamanan negaranya sahaja. Tanpa mereka peduli terhadap apa yang berlaku kepada negara-negara berdekatan mereka dan bangsa bukan Yahudi.

Hal ini sekali gus menunjukkan betapa sikap mereka yang ‘double standard’ dan berkepentingan diri yang tidak bersifat kemanusiaan sejagat. Pada masa yang sama, memajukan negara haram mereka dengan segala jenis senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa seperti senjata nuklear, biologi, kimia dan lain-lain.

Telah dilaporkan bahawa negara haram itu telah pun memiliki senjata pemusnah sejak tahun 1967 lagi, dengan bantuan negara Barat yang terlibat dengan penubuhannya pada tahun 1948 secara kejam terhadap penduduk asalnya. Perkara ini telah didedahkan oleh beberapa orang pemimpin negara mereka atas nama menjaga keselamatan dan keamanan mereka.

Kemudiannya, perkara tersebut turut disahkan pula oleh laporan media Barat (The Sunday Times di United Kingdom pada 5 Oktober 1986) dengan pendedahan maklumat bergambar dan rakaman oleh Mordechai Vanunu, seorang saintis yang bertugas di pusat nuklear Israel di Naqab. Akibatnya, dia diculik oleh Mossad (agensi perisikan Israel) dan dipenjarakan.

Advertisement

Dalam pada itu, negara haram Israel juga memiliki teknologi operasi senjata pemusnah melalui serangan darat, udara dan laut ke arah sasaran yang dipilihnya dalam jarak dekat dan jarak jauh. Perkara ini sekali gus menunjukkan kelayakan mereka menjadi pengganas bersifat negara, tanpa mempedulikan kepada sebarang perjanjian, piagam dan undang-undang antarabangsa.

Sebaliknya, negara Islam khususnya negara Arab pula sangat dicemburui sekiranya mereka memiliki kemajuan sains nuklear. Walaupun kemajuan itu hanyalah bertujuan menjaga keamanan seperti membekalkan sumber tenaga, bukannya bermaksud untuk agenda peperangan.

Mantan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak juga pernah membuat kenyataan pada tahun 80-an, mengulas tentang kemerdekaan beberapa wilayah Islam di Asia Tengah dan menzahirkan kebimbangannya jika senjata pemusnah milik bekas negara Soviet jatuh ke tangan pelampau Islam.

Pada tahun 1998, mantan Perdana Menteri Israel iaitu Shimon Peres juga membuat kenyataan bahawa Israel sudah memiliki senjata nuklear bagi tujuan keselamatan dan keamanan negara haram mereka.

Malah, mantan Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) iaitu Dr. Mohamed el-Baradei juga pernah membuat kenyataan terbuka bahawa sebenarnya Israel telah pun memiliki senjata nuklear.

Beberapa kajian mendedahkan telah berlaku kebocoran bahan radioaktif terhadap alam sekitar dan penduduk berhampiran yang sangat membahayakan. Pada masa yang sama, mereka bercakap dengan mengajak perdamaian. Maka, benarlah firman Allah SWT:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ٢٠٥

“Dan antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menyebabkan hatimu tertarik mendengarnya, dan dia bersumpah (dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras. (204); Dan apabila dia berpaling (daripada kalian), dia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak menyukai kebinasaan. (205).” (Surah al-Baqarah: 204-205)

Permusuhan yang melampau oleh kalangan Yahudi Zionis terhadap Islam dan penganutnya hakikatnya hanyalah menakutkan diri mereka sendiri. Mereka tidak percaya kepada umat Islam yang diwajibkan berpegang dengan al-Quran dan Sunnah, sumber yang mengharamkan tindakan melampau termasuklah dalam peperangan dengan nas al-Quran dan Hadis Nabawi.

Firman Allah SWT:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ١٩٠

“Dan perangilah kerana agama Allah akan orang-orang yang memerangi kalian, (tetapi) janganlah kalian melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Sabda Rasulullah SAW:

اخْرُجُوا بِسْمِ اللهِ تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللهِ مَنْ كَفَرَ بِاللهِ، لَا تَغْدِرُوا، وَلا تَغُلُّوا، وَلا تُمَثِّلُوا، وَلا تَقْتُلُوا الْوِلْدَانَ، ‌وَلَا ‌أَصْحَابَ ‌الصَّوَامِعِ.

“Berangkatlah kalian dengan menyebut nama Allah (bismillah), berperanglah di jalan Allah melawan orang-orang yang kufur kepada-Nya, janganlah berlaku khianat, janganlah melampaui batas, janganlah mencencang, serta janganlah membunuh anak-anak serta orang-orang sedang beribadat di gereja.” (Riwayat Ahmad 2728)

Sebarang kemajuan teknologi negara Islam ditentang habis-habisan oleh Israel dan sekutunya. Bahkan, ada yang dilancarkan serangan bagi memusnahkan negara tersebut tanpa mengira ideologi dan mazhab sepertimana yang dilakukan ke atas Iraq, Libya dan Iran.  

Kini, negara Iran menjadi sasaran tekanan seluruh negara Barat yang berpihak kepada Israel kerana pencapaiannya dalam teknologi nuklear. Sekalipun Imam bagi negara yang meletakkan hukum agama adalah rujukan tertinggi dalam sistem negaranya itu telah menegaskan haramnya penggunaan senjata pemusnah.

Walau bagaimanapun, tetap diberikan tekanan habis-habisan, sehingga dilakukan sekatan ekonomi yang tidak berperikemanusiaan ke atas Iran dan seluruh penduduknya.

Adapun negara haram Israel yang sudah nyata mempunyai segala jenis senjata pemusnah yang sangat melampau dipejamkan mata dan tidak dipersoalkan sedikit pun. Walaupun negara haram itu telah menunjukkan tanda-tanda bertindak secara melampau terhadap rakyat Palestin yang asal.

Bahkan, tindakan ketenteraan terhadap Israel juga perlu dilakukan secara berhati-hati kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kebocoran bahan radioaktif dalam senjata pemusnah. Hal ini demikian kerana, ia akan membahayakan penduduk negara berhampiran, bukan sahaja orang-orang Yahudi yang menggunakannya.   

Malangnya, terdapat dalam kalangan negara Islam dan Arab berpihak kepada Israel yang ternyata kezaliman dan melampaunya, sehingga sanggup melakukan normalisasi bagi menghalalkan segala kezaliman dan melampaunya itu. Pada masa yang sama, mereka sanggup bertindak terhadap sesama saudara sendiri kerana perbezaan mazhab dan ideologi.

Namun, kita tetap percaya bahawa tindakan melampau negara haram Israel itu sebenarnya menyegerakan kemusnahan mereka sendiri. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ٦٤

“Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka hingga Hari Kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya. Dan mereka terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al-Ma’idah: 64)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS   
Bertarikh: 9 Jumadal Ula 1443 / 14 Disember 2021 – HARAKAHDAILY 14/12/2021