Ibu pelajar maut kemalangan terima ziarah Muslimat

- Advertisement -

TELUK INTAN: Tragedi dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Teluk Intan yang maut dalam kemalangan jalan raya selepas pulang dari sekolah minggu lalu mendapat perhatian Muslimat PAS Kawasan Teluk Intan. 

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Teluk Intan, Robainah Ismail bersama pasukannya telah menyantuni keluarga pelajar terbabit di Taman Muhibbah Desa Aman, kelmarin. 

Menurut ibu mangsa, Arbakyah Adnan, ketika kejadian anaknya Muhammad Azhari Hishamuddin,16, membonceng motosikal yang dibawa rakannya dikenali sebagai Afiq Aiman,16, ketika itu dalam perjalanan menghantarnya pulang ke rumah. 

Namun, ketika dalam perjalanan mereka terlibat kemalangan di mana anak tunggalnya itu mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia dua hari selepas mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.

“(Manakala) rakannya Afiq Aiman yang menunggang motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian. Saya amat sedih, (kerana) Arwah satu-satunya anak saya dan saya juga (seorang) ibu tunggal,” kongsinya hiba. 

Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Robi’atun Mohd Abas dalam pada itu menzahirkan rasa sedih terhadap kemalangan menimpa kedua-dua remaja ini, sekali gus mengambil peluang berkongsi kata-kata semangat kepada Arbakyah. 

“Sebagai hamba Allah yang beriman kepada qada’ (dan) qadar, kita perlu terima segala ketetapan dengan hati yang redha. Pasti ada hikmah di sebalik segala ujian. Saya berharap Puan terus redha dan bersabar,” ujar beliau. 

Kesempatan itu, pasukan ziarah Muslimat Teluk Intan turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan makanan asas harian dan wang tunai semasa sesi ziarah dijalankan. 

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Wanita Teluk Intan (PERWATIN), Noor Saadah Abas dan Ketua Muslimat PAS Cawangan Desa Aman, Nor Asiah Ahmad. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -