Buli boleh dihenti dengan peranan aktif semua pihak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Dr Ustazah Siti Mastura Muhammad berkata, budaya membuli boleh dihentikan dengan peranan aktif semua pihak.

Menurutnya, tidak berhenti dengan kes kematian Zulfarhan, saban tahun pasti ada sahaja kes buli yang terjadi di sekolah mahupun universiti.

Baru-baru ini pula, ujarnya anak remaja lelaki seawal usia 13 tahun sudah berani melakukan perbuatan buli terhadap rakannya secara terbuka.

- Advertisement -

“Budaya membuli ini hanya boleh dihentikan dengan peranan aktif oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun begitu, kata beliau Ameerah Malaysia percaya bahawa salah satu kunci penyelesaian jangka masa panjang terhadap masalah itu adalah ibu bapa.

Beliau menambah, asas latihan kepimpinan kepada anak lelaki mestilah bermula daripada rumah.

“Ibu bapa mestilah mendidik anak lelaki mereka menjadi Qawwam, dalam konteks bukan sahaja mampu menahan diri daripada menyakitkan sesiapa tetapi juga mampu bertindak sekiranya perbuatan buli tersebut berlaku di hadapan mata,” katanya lagi.

Justeru, kata beliau Ameerah Malaysia menyeru kepada semua ibu bapa agar turut meningkatkan ilmu keibu bapaan agar kitaran buli itu dapat dihentikan di semua institusi pendidikan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu memperhebatkan lagi kursus keibu bapaan percuma yang disediakan dengan menekankan kepada konsep qawwam mengikut ajaran Islam. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -