Kajian vaksin Covid-19 tempatan masih peringkat awal

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Dua kajian vaksin Covid-19 oleh pelbagai institusi penyelidikan dan universiti tempatan masih di peringkat awal pembangunan, iaitu untuk pembuktian konsep.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Ahmad Amzad Hashim, berkata penyelidikan vaksin Covid-19 jenis mRNA hanya melibatkan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

- Advertisement -

Katanya, penyelidikan yang melibatkan kerjasama antara IMR, Institut Penyelidikan Veterinar dan Universiti Putra Malaysia (UPM), pula berkaitan pembangunan vaksin meliputi teknologi virus ternyahaktif.

“Bagi vaksin mRNA, aktiviti terkini adalah calon vaksin akan menjalani proses `in-vitro transcription’ yang melibatkan pelbagai ujian makmal yang kompleks.

“Aktiviti terkini berkaitan penyelidikan vaksin virus ternyahaktif adalah proses menyahaktif virus yang terpilih dan penambahan bahan khas, iaitu adjuvan untuk meningkatkan tindak balas vaksin,” katanya menjawab soalan lisan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menyatakan perkembangan terkini vaksin buatan negara jenis mRNA yang dibangunkan hasil kerjasama antara IMR, Institut Penyelidikan Veterinar dan UPM serta peruntukan RM5 juta bagi pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin kepada UPM dan Universiti Malaya (UM).

Sementara itu Ahmad Amzad berkata, MOSTI menyalurkan dana sebanyak RM4.9 juta melalui geran MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF) bagi membiayai dua projek di bawah UPM dan UM.

Katanya, projek UPM menggunakan platform virus, manakala UM menggunakan platform `mucosal vaccine’.

“Mulai 1 Mei 2020, MOSTI menawarkan skim dana MCCOF untuk menggalakkan projek penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) dalam memerangi dan mengawal wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan projek UPM dan UM bermula pada 15 Januari 2021 untuk tempoh tidak melebihi 24 bulan dan masih dalam tempoh pelaksanaan `milestone 1′, iaitu penyelidikan dan penemuan dengan aktiviti yang dilaksanakan adalah pengenalan sasaran vaksin dengan menggunakan bantuan komputer.

Ketika ini, katanya projek dalam pelaksanaan aktiviti seterusnya ialah pengesahan molekul pengumpulan semula dan penyediaan molekul sasaran vaksin.

“MOSTI berharap projek yang dibiayai di bawah inisiatif MCCOF menjadi platform bagi penciptaan vaksin tempatan, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan bekalan vaksin dari luar negara yang melibatkan kos yang tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/12/21

- Advertisement -