Pidato jadi pentas anak muda dekati PAS

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KUALA NERUS:
Kemenangan Mohammad Khairol Najmi Adnan pada pertandingan pidato sempena ulang tahun PAS Ke-70 menjadi platform untuk anak-anak muda mendekati PAS.

Khairol Najmi memberitahu beliau sudah lama berminat untuk bersama parti Islam itu, namun tidak tahu bagaimana cara untuk lakukan.

“Alhamdulillah setelah saya tahu pertandingan pidato dibuka pada anak muda secara terbuka, saya cuba sertainya.

“Semoga dengan kemenangan ini, memberi ruang kepada saya bukan sahaja untuk mengenali pimpinan PAS, sebaliknya bersama program yang disertai,” ujarnya.

- Advertisement -

Katanya, pertandingan pidato Piala Presiden itu kali pertama beliau sertai yang dianjurkan PAS, sebelum ini hanya mendengar parti Islam itu dari jauh sahaja.

“Memang saya berhasrat untuk bersama kepimpinan ulama dan pemuda PAS, tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk dilakukan, jadi ambil peluang ini,” ujarnya yang juga seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Terengganu.

Beliau memilih tajuk pidato bersesuaian dengan ulang tahun penubuhan PAS itu yang berusia 70 tahun.

Katanya, kerana cintakan negara dan perpaduan, beliau gabungkan keduanya dengan jodol ‘70 Tahun Penubuhan PAS: Kepentingan Perpaduan Terhadap Penubuhannya’.

Bagi mengenali lebih dekat dengan politik, beliau berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains dan Politk apabila belajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) nanti.

Mengulas kemenangan itu, beliau melahirkan rasa syukur dan menyifatkannya ia berkat doa ibunya. – HARAKAHDAILY 11/12/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!