Muslimat Tambun ziarah keluarga pesakit SLE

TAMBUN: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Muslimat PAS Kawasan Tambun, telah mengadakan ziarah prihatin ke atas seorang pesakit kronik di Taman Klebang Putra, di sini semalam.

Advertisement

Ziarah tersebut setelah pihak Muslimat PAS Tambun dimaklumkan mengenai keadaan pesakit tersebut dan berusaha meringankan beban ditanggung keluarga tersebut yang turut menjalani kuarantin.

Pengerusi LKK Muslimat PAS Tambun, Khamisah Abd Hamid dalam lawatan itu telah menyampaikan bantuan berupa wang ringgit dan kit medik prihatin kepada keluarga pesakit SLE tersebut.

“Si suami terpaksa menjaga isterinya yang menghidap SLE di mana badannya sudah tidak (lagi) memberi tindak balas. (Maka) perhatian penuh (dari) anak, suami, serta ahli keluarga yang lain amat diperlukan,” katanya. 

Menurut Khamisah, dari ziarah tersebut mendapati pesakit berusia 38 tahun itu merupakan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitul Mal bagi menampung pembelian susu khas dan pampers. 

Dalam pada itu, pasukan ziarah Muslimat itu turut sama menyampaikan bantuan berupa kotak makanan barangan asas dapur kepada sebuah keluarga yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah mereka. 

Turut hadir dalam ziarah itu, Ketua Muslimat PAS Zon Klebang, Jamani Azizan dan Ketua Muslimat PAS Cawangan Taman Klebang Putra, Rohani Sibona serta beberapa Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Zon Klebang yang lain. – HARAKAHDAILY 11/12/2021