Perlis disaran contohi Kedah haram premis judi

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Perlis disaran mengikuti jejak langkah Kedah tidak lagi melulus lesen premis perjudian dan mengehadkan penjualan arak di seluruh negeri itu bagi membendung gejala sosial.

Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) berkata, beliau tertarik dengan keputusan kerajaan Kedah mengharamkan judi dan menghadkan jualan arak.

“Jadi apa salahnya kita negeri jiran juga megharamkan judi dan hadkan penjualan arak sesuai dengan Perlis sebuah negeri yang kecil,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya peraturan itu wajar dicontohi bukan kerana Kedah diperintah PAS, sebaliknya untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Kata beliau perkara yang boleh merosakkan institusi keluarga seharusnya dielakkan semaksimum mungkin.

“Perkara ini sudah lama saya perjuangkan sejak sejak menjadi Adun pada 2013. Namun tidak menafikan terdapat perubahan positif seperti pengurangan jumlah kedai judi sekarang.

“Tetapi kita boleh bertindak secara lebih agresif lagi. Selain itu, terdapat juga aktiviti judi haram yang aktif, di mana ada sesetengahnya dijual di rumah,” katanya.

Menjawab isu tersebut Menteri Besar, Dato’ Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri melihat premis perjudian berlesen dan penjualan arak belum mendatangkan masalah di Perlis.

Ujarnya, premis menjual arak juga terhad dan hanya dikunjungi orang bukan Islam sahaja.

“Jika berlaku kesan negatif, ia akan ada justifikasi untuk kita melakukan tindakan lanjut, tetapi pada masa ini ia dilihat tiada masalah dan tidak perlu diganggu.

“Apa yang lebih penting adalah nilai-nilai yang ditanam dalam diri dan individu tersebut harus mengawal dirinya daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2021

- Advertisement -