Pengundi wanita jadi penentu di Benting Maro

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

BATANG LUPAR: Kejutan mungkin berlaku di Dun Beting Maro dengan mengambil kira pola pengundian dalam kalangan pengundi wanita.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Sarawak, Hamidah Mokhtar berkata, pengundi wanita lebih banyak tinggal di rumah berbanding pengundi lelaki berada di luar kawasan.

Menurutnya, peluang bagi pengundi wanita mengundi lebih ramai berbanding dengan kaum lelaki yang bekerja di luar kawasan atau negeri.

- Advertisement -

“Di Dun Beting Maro jumlah pengundi wanita dengan pengundi dengan kekuatan masing-masing 50-50.

“Sebaliknya pengundi lelaki lebih ramai berada di luar (kawasan) kerana bekerja dan kemungkinan ada yang tidak balik mengundi.

“Jadi PRN kali ini pengundi wanita yang terdiri daripada surirumah dan mereka mereka yang bekerja di Beting Maro boleh menjadi penentu kemenangan calon yang bertanding,” katanya di sini.

Beliau yang juga mantan calon PAS pada PRN ke-11 tahun 2016 berkata demikian ketika ditemui di Bilik Operasi Utama N29 Beting Maro, Pusa.

Menurut Hamidah, beliau yakin pengundi wanita mampu membuat perubahan bagi memenangkan calon PAS pada 18 Disember ini.

“Faktor kedua semenjak saya menjadi calon PRN-11, Muslimat PAS tidak pernah berhenti kerja, walaupun selepas pilihan raya.

“Banyak program kebajikan yang kita buat seperti ziarah, santuni ibu tunggal, orang sakit, lawat warga emas, usrah berkelompok dan kelas pengajian ilmu.

“Bahkan, kami bina tujuh titian untuk kemudahan laluan ke rumah mereka dengan kos kita tanggung sendiri,” jelasnya.

Katanya juga aktiviti kebajikan rakyat yang melibatkan kepentingan ramai dibantu PAS tanpa mengira parti.

PRN Sarawak bagi N29 Beting Maro menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS, Mohammad Arifiriazul Paijo dengan Razaili Haji Gapor (GPS).

Selain itu Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR), Jacky Chiew Su Chee (Parti Bumi Kenyalang) dan calon Bebas iaitu Safiudin Matsah. – HARAKAHDAILY 9/12/2021

- Advertisement -