Liputan 4G meningkat di Kelantan dan Parlimen Bachok

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Liputan 4G di kawasan berpenduduk Kelantan meningkat kepada 93.91 peratus pada suku ketiga tahun ini, berbanding 91.87 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku ketiga tahun 2020.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Zahidi Zainul Abidin, berkata di Parlimen Bachok pula, liputan 4G di kawasan berpenduduk meningkat kepada 99.50 peratus pada suku ketiga tahun ini, berbanding 92.20 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA.

- Advertisement -

Katanya, JENDELA diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani isu akses kepada internet berkualiti bagi perkhidmatan tetap dan mudah alih.

“Secara umum, pelaksanaan semua inisiatif JENDELA bermula sejak September 2020 dan inisiatif yang dalam perancangan akan siap secara berperingkat sehingga akhir tahun hadapan.

“Perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit pula kini dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat mulai November lalu sehingga awal tahun hadapan,” katanya menjawab soalan lisan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Mohamad Abduh meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia, menyatakan pelan pembangunan jalur lebar serta rangkaian telefon yang lemah di Parlimen Bachok.

Zahidi memberi jaminan bahawa usaha penambahbaikan rangkaian akan diteruskan untuk memberikan kualiti pengalaman yang lebih baik kepada pengguna.

Sehubungan itu, katanya pelaksanaan JENDELA akan terus dipergiatkan bagi memastikan impak pelaksanaannya dapat diterima dengan cepat oleh seluruh Keluarga Malaysia.

“Ini termasuk mengkaji semula secara berkala sasaran awal yang ditetapkan sebelum ini seperti bilangan menara baharu yang akan dibina, stesen pemancar yang dinaik taraf serta premis yang mendapat akses gentian optik bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa diutamakan,” katanya.

Selain pembinaan menara telekomunikasi dan satelit, katanya kerajaan akan melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik.

Katanya, PoP merupakan antara alternatif bagi memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluas ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk dengan lebih baik. – HARAKAHDAILY 9/12/21

- Advertisement -