Kontroversi musnah cerpelai: PM Denmark disoal siasat

Frederiksen menegaskan tidak tahu keputusannya mengarahkan cerpelai yang diternak di seluruh Denmark dimusnahkan pada tahun 2020 adalah adalah perkara yang menyalahi undang-undang. (FOTO Ritzau Scanpix)
- Advertisement -

COPENHAGEN: Suruhanjaya parlimen Denmark akan mengadakan soal siasat terhadap Perdana Menteri, Mette Frederiksen pada  Khamis (9 Dis), berhubung keputusan kerajaan pimpinannya Nov tahun lepas untuk memusnahkan populasi 17 juta cerpelai yang diternak di seluruh negara itu kerana bimbang menularkan jangkitan baharu Covid-19.

Suruhanjaya itu akan berusaha untuk menentukan sama ada Frederiksen sedar bahawa perintah itu tidak mempunyai asas undang-undang – fakta yang muncul sejurus selepas pemusnahan dijalankan dan menyebabkan menteri pertanian negara itu, Mogens Jensen meletakkan jawatan, juga pada Nov tahun lepas.

- Advertisement -

Pada masa itu, kerajaan hanya mempunyai kuasa untuk meminta penternak cerpelai di tujuh majlis perbandaran yang terjejas akibat mutasi Covid-19 itu untuk memusnahkan cerpelai mereka.

Namun persetujuan telah dicapai secara retroaktif, menjadikan keputusan kerajaan itu sah, dan pemusnahan haiwan ternakan berkenaan di seluruh negara diteruskan seperti yang dirancang.

Sebelum pemusnahan berkenaan, Denmark merupakan pengeluar bulu cerpelai kedua terbesar di dunia selepas China.

Sebuah suruhanjaya parlimen yang dilantik khas sejak April lalu meneliti keputusan kerajaan Denmark dan semua dokumen berkaitannya, serta menyoal saksi sebelum memproses kesemua bukti bagi membuat keputusan, lapor Channelnewsasia.

Akhirnya, suruhanjaya itu akan memutuskan sama ada untuk mengesyorkan atau tidak perkara itu dihadapkan ke mahkamah khas yang menilai tindakan anggota kabinet semasa memegang jawatan.

Frederiksen dalam pada itu berkata, beliau tidak tahu keputusannya tentang perkara berkenaan adalah menyalahi undang-undang, dan menegaskan bahawa ia dibuat ‘berdasarkan penilaian risiko yang sangat serius’.

Mengulas mengenai kenyataan Frederiksen itu, seorang profesor undang-undang di Universiti Selatan Denmark, Frederik Waage memberitahu AFP, setakat ini, semasa perbicaraan, pihak pendakwa tidak melihat apa-apa bukti bahawa perdana menteri tersebut sedar tentang kesalahan yang dilakukannya itu.

“Sebagai individu yang secara peribadi sangat terlibat dalam pengendalian kes itu,  jelas adalah penting untuk mendengar apakah alasan beliau (Frederiksen) sendiri,” tegas Waage. – HARAKAHDAILY 9/12/2021

- Advertisement -