Arif Paijo sedia bantu anak muda berniaga

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUCHING:
Anak-anak muda di Beting Baro berpeluang berjinak dalam bidang perniagaan melalui inisiatif yang dibawa calon PAS DUN terbabit.

Calon PAS yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak di DUN Beting Maro, Mohammad Arifiriazul Paijo berkata, tumpuan utama untuk membantu anak-anak muda terbabit dengan perniagaan sebagai sumber rezeki.

Katanya, mereka akan dibantu mendapat modal bagi memulakan perniagaan dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdapat di DUN Beting Maro.

- Advertisement -

“Selain itu memberi galakan kepada anak-anak muda membangunkan komuniti mereka dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah dengan penglibatan pelbagai pihak,” katanya ketika dihubungi.

DUN Beting Maro menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Jacky Chiew Su Chee mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK), Razaili Gapor (GPS-PBB), Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR), Safiudin Matsah (Bebas) dan Arif Paijo (PAS).

Pada Pilihan Raya Negeri 2016 kerusi itu dimenangi Razaili Gapor dengan majoriti 1,707 undi.

Arif juga berkata, beliau akan membuka Pusat Khidmat Masyarakat di DUN Beting Maro bagi memudahkan memberi khidmat kepada rakyat sekiranya diberi mandat pada 18 Disember ini.

“Markas PAS Pusat sedia ada, kita akan operasikan sebagai Pusat Khidmat Masyarakat untuk memberi khidmat kepada penduduk tempatan.

“Insya-Allah inilah antara komitmen saya dan PAS untuk DUN Beting Maro bagi memastikan kebajikan mereka terbela dan mengajak anak-anak muda berjinak dengan perniagaan” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi PRN Sarawak kali ini pada 18 Disember sementara mengundi awal 16 Disember. – HARAKAHDAILY 9/12/2021

- Advertisement -