Usahawan aiskrim gula apong miliki 54 cawangan

Pengasas Mokti's, Pengiran Muhammad Adil (kiri) bersama Raja Muda Perlis (tengah).
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Bermula dengan menjual dari bonet kereta, Pengiran Muhammad Adil Awang Iskanderndzulkarnein, kini boleh berbangga kerana perniagaan aiskrimnya kini tersebar luas di Semenanjung Malaysia.

Menggunakan jenama Mokti’s Ice Cream Gula Apong, kini memiliki 54 cawangan dan merancang membuka 24 lagi cawangan pada tahun hadapan.

- Advertisement -

Menurutnya, perniagaan yang diusahakan bersama isterinya, Siti Fatimah Adnan, turut membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan dengan bilangan kakitangan seramai 70 orang.

“Kami bersyukur kerana Mokti’s berjaya membuka peluang pekerjaan kepada ramai anak tempatan untuk berniaga dan bekerja walaupun terpaksa mengharungi keadaan ekonomi yang mencabar akibat penularan wabak Covid-19,” katanya di sini.

Premis aiskrimnya turut menerima kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Kunjungan itu sempena lawatan Baginda ke empat kilang, termasuk premis pembuatan aiskrim yang diusahakan syarikat tempatan di sini.

Graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu berkata, produknya semakin dikenali ramai kerana keunikan rasa yang menggabungkan aiskrim dan gula apong.

Menurutnya, pelanggan Mokti’s terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan umur dengan antara aiskrim yang sangat digemari ialah ‘Mixed Pandan Apong’. – HARAKAHDAILY 8/12/21

- Advertisement -