Teroka tanah: Terengganu sedia pelan penyelesaian

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

SETIU: Lebih 3,000 ekar tanah kerajaan di daerah ini diterokai secara haram yang sebahagian besarnya ditanam sawit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, isu itu berlarutan sejak lebih 15 tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menyediakan pelan penyelesaian untuk merungkai isu lapuk itu.

- Advertisement -

“Penyelesaian dengan cara kita, mengikut suasana dan waqi’ kita di Setiu,” ujarnya yang hadir pada majlis perjumpaan dengan peneroka tanah secara tidak sah di beberapa kawasan di Dewan MDS Sungai Tong, semalam.

Sehubungan itu, beliau tidak ada masalah untuk turun sendiri berdepan untuk berbincang secara baik dan harmoni dengan pihak yang teribat.

“Kita tak bercakap dalam topik penguatkuasaan atau pendakwaan tetapi bagaimana ruang peraturan dan undang-undang sedia ada boleh dimanfaatkan untuk membuka jalan supaya yang ‘haram’ boleh ‘dihalalkan’.

“Natijahnya rakyat kita boleh terus cari rezeki dan kerajaan sebagai tuan tanah dapat hak,” katanya lagi.

Paling penting, ujarnya urus tadbir tanah boleh diatur dan diperkemaskan kerana negeri mempunyai undang-undang.

Tambah Adun Jabi itu, yang paling penting berkuat kuasa tahun depan apabila hendak menjual sawit perlu ada sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Nak dapat sijil MSPO, status tanah mesti ‘halal’,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 8/12/2021

- Advertisement -