Takrifan pekerja ekonomi gig perlu lebih jelas

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Takrifan kategori pekerja ekonomi gig perlu dibuat secara rasmi dan jelas dari sudut sektor dan jenis pekerjaan bagi membolehkan mereka menikmati faedah mengikut Akta Malis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata secara am, takrifan pekerja mengikut Akta Kerja 1955 (Akta 265), Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) adalah individu yang terikat di bawah satu kontrak perkhidmatan dan pihak majikan.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya jika pekerja di bawah kontrak perkhidmatan, maka Perintah Gaji Minimum (PGM) adalah terpakai.

“Pekerja ekonomi gig merupakan individu yang bekerja sendiri dan bebas yang tertumpu kepada kontrak untuk perkhidmatan bagi skop kerja dan tempoh masa yang ditetapkan dengan bayaran yang dipersetujui,” katanya menjawab soalan lisan Senator Datuk Razali Idris di Dewan Negara, hari ini.

Awang berkata, ketika ini struktur hubungan antara pekerja ekonomi gig dan penyedia platform dari segi hubungan majikan dan pekerja sukar untuk dibuktikan.

Katanya, ini kerana undang-undang pekerja negara adalah berdasarkan sifat perniagaan dan konteks hubungan pekerja-majikan yang tradisional.

Ketika ini, katanya usaha kerajaan ialah melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS), termasuk pekerja ekonomi gig seperti penghantar makanan dan perkhidmatan e-hailing jika mencarum di bawah akta itu.

Bagaimanapun, katanya kementerian sedang meneliti aspek perundangan bagi mengawal selia dan melindungi kebajikan pekerja gig dengan lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 8/12/21

- Advertisement -