Sukarnya mencari Bapa Penyatuan

- Advertisement -

KITA biasa dengar gelaran-gelaran seperti Bapa Kemerdekaan, Bapa Pembangunan, Bapa Pemodenan dan pelbagai gelaran bagi menggambarkan sumbangan besar pimpinan utama sesebuah negara, negeri atau wilayah.

- Advertisement -

Semuanya kerja sukar dan pasti amat mencabar. Bapa Kemerdekaan dengan tugas besarnya mengeluarkan daripada penjajahan. Bapa Pembangunan dengan peranannya mengurus dan mengisi kemerdekaan dengan mengurus rakyat dan merancang pembangunan. Begitulah juga peranan Bapa Pemodenan yang membawa masyarakat sesuai dengan zaman dan membangun sesuai dengan keadaan semasa. Semuanya sukar dan perlu pengorbanan.

Tanpa mengurangkan sedikitpun rasa hormat kepada semua gelaran di atas, saya beranggapan Bapa Penyatuan satu gelaran yang sangat sukar.

Bapa Penyatuan perlu punya jiwa yang lebih besar. Kadangkala sejarah pahit dan tragis terpaksa dilupakan. Cabaran, sindiran dan kadangkala pelbagai kutukan semasa terpaksa ditelan walaupun pahitnya teramat sangat. Bapa Penyatuan juga merupakan seorang yang futuristik dan berpandangan jauh.

Kenapa begitu sukar? Jawapan mudahnya kerana penyatuan perkara yang sukar. Musuh ke arah penyatuan bukan calang-calang. Mereka juga berpandangan jauh. Perpecahan akan menghasilkan keuntungan kepada pihak-pihak tertentu. Perkara yang baik halangannya lebih besar.

Saya simpulkan begini. Bapa Kemerdekaan sukar, tapi tidak sesukar Bapa Penyatuan. Bapa Pembangunan juga sukar, tapi lebih sukar mencari Bapa Penyatuan. Bapa Pemodenan juga ada cabaran yang luar biasa, tapi cabaran lebih besar bagi seorang Bapa Penyatuan. Bapa Penyatuan pasti dapat membawa pembangunan dan pemodenan dengan lebih mudah. Bukan setakat itu, pelbagai visi dan misi lebih mudah dicapai apabila penyatuan yang hakiki dapat menjadi kenyataan.

Elakkan perpecahan. Perkukuh dan pertahankan penyatuan.

YB DR. ALIAKBAR GULASAN
Setiausaha PAS Sabah 
8 Disember 2021 – HARAKAHDAILY 8/12/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/262103762581885/posts/310749864383941

- Advertisement -