Penguatkuasaan ketat sepatutnya di setiap rantaian bekalan

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kebergantungan kepada orang tengah yang mendominasi pasaran sering menjadi punca kenaikan harga barangan yang ada kalanya ‘tidak masuk akal’ di Malaysia.

Sehubungan itu Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu Prof Madya Dr Roshaiza Taha menyarankan agar penguatkuasaan yang ketat dibuat pada setiap rantaian bermula daripada pengeluar hingga ke peringkat peniaga akhir bagi mengatasi masalah itu.

- Advertisement -

Beliau berkata golongan peniaga kecil terutamanya di pasar terpaksa menanggung kesukaran berhadapan dengan rungutan pelanggan berhubung kenaikan harga yang tidak menentu.

“Tidak sekadar itu, agensi penguatkuasaan pula sentiasa memantau harga barangan di pasar basah sedangkan untung yang mereka peroleh tidaklah setinggi mana.

“Seeloknya, penguatkuasaan turut dibuat pada orang tengah yang mendominasi pasaran agar dapat diketahui punca sebenar kenaikan harga barangan yang terlalu mendadak dan melampau,” katanya ketika dihubungi Bernama berkaitan kenaikan harga barangan keperluan asas makanan seperti sayur-sayuran, ikan dan ayam sejak pertengahan November lepas.

Roshaiza berkata beberapa faktor kenaikan adalah signifikan dengan peningkatan permintaan untuk sebahagian barangan berikutan fasa peralihan ekonomi seiring dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kita faham kenaikan ini juga susulan kelonggaran aktiviti rentas negeri yang menyaksikan aktiviti pelancongan kembali meriah seterusnya meningkatkan permintaan barangan asas ini. Rakyat dilihat kembali memenuhi kedai makan dan hotel kembali penuh.

“Permintaan yang meningkat tidak selari dengan kemampuan penawaran khususnya pada tempoh hujung tahun yang menyaksikan peralihan kepada Monsun Timur Laut yang membataskan pergerakan nelayan,” katanya.

Faktor tersebut menyebabkan kekurangan sumber bekalan tempatan dan kebergantungan yang tinggi kepada produk import. Oleh itu rakyat perlu bersedia lagi dengan kenaikan harga barangan kerana banjir yang akan berlaku menyebabkan hasil pertanian turut musnah dan sekali lagi menyaksikan kekurangan stok bekalan sayur-sayuran.

Tambahnya, peningkatan harga barangan turut dipengaruhi oleh peningkatan kos operasi bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Kos pelitup muka, sanitasi dan kos ujian saringan adalah antara kos tambahan yang perlu ditanggung oleh perniagaan dan kebiasaannya ia diserap dan beban tentunya ditanggung oleh pengguna.

“Ketidakstabilan harga minyak dunia dan kadar inflasi yang tinggi turut memainkan peranan dalam peningkatan harga barangan ini.

“Namun, berdasarkan laporan berita baru-baru ini mendakwa petani dan pekebun sayur masih menjual harga yang sama kepada pemborong… sebab itu saya tekankan pentingnya penguatkuasaan di setiap rantaian barangan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata nasihat kerajaan untuk rakyat mencari produk pengganti tidak lagi relevan pada masa kini.

“Kalau 10 atau 20 tahun lepas kita sering bergantung kepada sardin atau telur pada musim tengkujuh namun harga kedua-dua produk ini turut meningkat sekarang,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -