Kurang selenggara punca sawah ditenggelami banjir

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengambil beberapa langkah bagi mengatasi sawah ditenggelami air sehingga menyebabkan padi rosak.

Anggota Exco kerajaan negeri Nurulhisham Yaakob berkata, antara langkah dijalankan MADA memanjangkan sistem pengairan tersier di bawah Projek Pemacu Pertanian (PPP) daripada 18 meter kepada 30 meter bagi meningkatkan kepadatan infrastruktur.

Katanya, sebanyak 12 blok pengairan sedang dibangunkan dengan sistem pengairan tersier di Perlis bagi tempoh 2011 sehingga penghujung tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

- Advertisement -

“Manakala empat blok pengairan lagi akan dibangunkan dalam tempoh RMKe-13,” katanya pada sidang Dun Perlis semalam.

Sebelum itu Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) dan Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) membangkitkan isu tersebut memandangkan banyak padi rosak akibat ditenggelami banjir.

Mereka berharap agensi berkaitan mengutamakan penyelenggaraan sistem pengairan sedia ada.

“Sistem pengairan yang ada sudah banyak, tetapi malangnya penyelenggaran tidak berlaku akhirnya menyebabkan berlaku limpahan air akibat hujan kerana pengaliran air tidak begitu lancar.

“Berikutan itu berlaku takungan air di kawasan sawah yang menyebabkan padi menjadi busuk dan rosak,” kata Mohd Shukri.

Nurulhisham yang juga Adun Simpang Empat berkata, MADA turut melaksanakan penyelenggaraan infrastruktur pengairan di kawasan sawah melibatkan kerja-kerja pembersihan saluran air, pemulihan, pengubahsuaian struktur dan penyelenggaraan jalan ladang.

Menurutnya juga MADA berdepan dengan peruntukan yang terhad di mana tahun ini hanya diluluskan RM5 juta, berbanding permohonan diajukan kepada kerajaan pusat RM20 juta.

Pada 22 November lalu hampir 6,000 hektar padi dibawah MADA di Kedah dan Perlis rosak disebabkan banjir yang melibatkan kerugian ditanggung 2,759 pesawah. – HARAKAHDAILY 8/12/2021

- Advertisement -