Jangan ceroboh kawasan mempunyai nilai sejarah

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Istana Arau, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) lama dan Masjid Alwi diwartakan oleh Jabatan Warisan Negara sebagai bangunan yang perlu dipelihara dan dipulihara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Asmaiza Ahmad, berkata Istana Arau dan Bangunan SUK lama diwartakan pada 24 Februari 2011, manakala Masjid Alwi diwarta pada 2 Februari 2018.

- Advertisement -

Katanya, binaan yang ada di atas tapak berkenaan juga dijaga dengan baik melalui penyelenggaraan berkala bagi melindungi dan memastikan tapak warisan itu selamat dan kekal.

“Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara jika terdapat penemuan baharu yang mempunyai nilai sejarah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) mengenai usaha kerajaan negeri memelihara dan memulihara tapak sejarah serta prasejarah di negeri itu.

Asmaiza juga berkata, semua pihak perlu memberi kerjasama untuk memelihara khazanah warisan dan tidak mengambil kesempatan menceroboh kawasan yang mempunyai nilai sejarah.

“Tapak sejarah dan prasejarah di Perlis merupakan suatu aset yang sangat berharga sekali gus melambangkan identiti negeri ini.

“Latar belakang sejarah ini yang akan membentuk wajah dan jati diri bangsa Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/21

- Advertisement -