Hospital Kemaman dapat peruntukan RM4.6 juta ganti peralatan

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta kepada Hospital Kemaman bagi perolehan peralatan perubatan sepanjang tahun 2020 hingga Oktober lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata peralatan diberikan mengikut keutamaan pihak hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

- Advertisement -

Katanya, peralatan tersebut termasuk peralatan perubatan yang diperlukan bagi menangani wabak Covid-19 di Hospital Kemaman.

“Daripada peruntukan ini, Hospital Kemaman memperolehi lima unit katil Unit Rawaran Rapi (ICU) serta kelengkapan lain bagi merawat pesakit.

“KKM akan sentiasa memantau keperluan dalam penambahan atau penggantian katil dari semasa ke semasa agar perkhidmatan kesihatan di hospital ini tidak terjejas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Che Alias Ahmad (PAS-Kemaman) yang meminta kerajaan menyatakan kadar hayat penggunaan katil dan fasiliti kesihatan di hospital, serta sama ada kementerian berhasrat menukar katil dan fasiliti lain di Hospital Kemaman yang telah usang.

Noor Azmi berkata, jangka hayat sesebuah katil hospital yang ideal adalah antara 10 hingga15 tahun, tetapi ini bergantung kepada tempoh penggunaan dan kekerapan kerosakan. – HARAKAHDAILY 8/12/2021

- Advertisement -