Guna kaedah alternatif ganti baja dan racun import

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Perubahan dasar negara pengeksport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik dan spekulasi pasaran dikenal pasti sebagai antara punca kenaikan mendadak harga baja dan racun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob, berkata bagi mengatasi masalah itu, petani digalak mengamalkan Pengurusan Perosak Bersepadu bagi mengurangkan penggunaan racun melalui kaedah kawalan secara kultur, fizikal dan biologi.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan juga menggalakkan dan mempromosikan penggunaan input pertanian berasaskan mikroorganisma berfaedah seperti ‘Plant Booster’, ‘Growth Enhancer’ dan ‘Bokashi’.

Selain itu menurutnya, petani digalakkan menggunakan bahan sisa tanaman seperti jerami padi untuk dijadikan baja kompos.

“Kita juga mendidik petani menggunakan baja dan racun mengikut keperluan dan sukatan yang tepat dengan teknik yang betul supaya berkesan,” katanya menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini.

Dalam soalannya, Mohd Ridzuan berkata, kenaikan harga baja dan racun di pasaran turut berlaku akibat manipulasi orang tengah dan mencadangkan kerajaan mengadakan program jualan baja dan racun prihatin bagi membantu pesawah membeli dengan harga lebih rendah.

Nurulhisham menyambut baik cadangan itu, namun memberitahu bahawa penjualan baja dan racun perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu dan tidak boleh dijual secara bebas.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta wakil industri pertanian bagi menangani isu ini.

“Sesi berkenaan melalui Jawatankuasa Bersama Berkenaan Isu Kenaikan Harga Baja dan Racun memberi beberapa cadangan kepada Kabinet mengenai isu kenaikan harga secara mendadak. – HARAKAHDAILY 8/12/21

- Advertisement -