Bahaya perangkap hutang

- Advertisement -

DI SEBUAH kampung tidak jauh dari sebuah ibu negeri terdapat satu pasar pagi yang terkenal. Pasar pagi itu menjual hasil-hasil keluaran penduduk kampung dan peniaga-peniaga datang dari jauh dan dekat untuk berniaga. Ramai pengunjung-pengunjung yang datang dari luar kampung itu.

Walau bagaimanapun tapak pasar tersebut adalah milik orang persendirian yang memungut bayaran secara harian dari peniaga-peniaga dan membersih juga memungut sampah yang dihasilkan.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun pemilik tanah itu tidak memiliki modal yang mencukupi untuk menguruskan pasar pagi itu dengan sempurna. Tapak pasar itu tidak diturap dan apabila musim hujan tapak itu akan berlumpur. 

Apabila hujan turun dengan lebat, peniaga tidak dapat berniaga dan para pengunjung juga tidak datang. Sementara tandas-tandas yang disediakan juga telah usang dan sentiasa tidak berfungsi. Pemilik tanah sentiasa memikir cara-cara agar pasar pagi itu dapat diuruskan dengan baik. Masalah beliau diketahui oleh mereka di kampung itu. 

Satu hari seorang tauke dari bandar telah menemui pemilik tanah kononnya untuk membantu. Tauke itu menawarkan untuk membina bumbung untuk pasar pagi itu. Beliau juga akan menurap pasar tersebut dan membina jalan masuk. Satu sistem perparitan yang baharu akan dibina. Tandas-tandas baharu juga akan disediakan. 

Pemilik tanah dan tauke tersebut telah menandatangani satu perjanjian di mana pemilik tanah perlu membayar kos penambahbaikan yang dibelanjakan oleh tauke. Pada mulanya semua pihak berpuas hati. Pengunjung dapat membeli-belah dengan selesa. Peniaga dapat menjalankan perniagaan mereka ketika hujan lebat dan ketika panas terik. Pemilik tanah juga tidak perlu runsing.

Pada asalnya pemilik tanah itu tidak berminat untuk menerima tawaran tauke. Beliau dan anak-anaknya bimbang mereka akan terikat kepada tauke itu dan mungkin tidak dapat membayarnya balik. Walau bagaimanapun pemilik tanah itu telah diyakinkan oleh anak sulungnya agar menerima tawaran tersebut.

Sebenarnya tauke itu telah menyogok anak sulung itu dengan wang yang banyak untuk meyakinkan bapanya. Tauke itu telah membuat risikan dan mengetahui anak tersebut sedang berhadapan dengan masalah kewangan dan memiliki seorang isteri yang suka berbelanja.

Tetapi disangka panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari. Masalah demi masalah telah melanda pasar pagi itu. Untuk membayar balik tauke, pemilik tanah terpaksa menaikkan yuran yang dipungut daripada para peniaga. 

Pada mulanya mereka menerima kenaikan ini tetapi akhirnya mereka merasakan ia membebankan. Justeru itu para peniaga terpaksa menaikkan harga barangan mereka untuk menampung  kenaikan yuran. Akibatnya pengunjung-pengunjung semakin berkurangan kerana harga barangan melambung naik dan akhirnya ramai peniaga yang menarik diri.

Dengan bilangan peniaga yang berkurangan, pemilik tanah menghadapi masalah untuk membayar hutangnya menurut jadual. Pada mulanya terdapat bulan-bulan yang dia gagal membayar tetapi akhirnya dia terus tidak membayar. Beliau menyangka tauke itu telah melupakannya kerana tidak menerima apa-apa peringatan. Keadaan seperti itu telah berlarutan bertahun-tahun lamanya.

Tetapi satu hari pemilik tanah itu menerima satu notis tuntutan dari tauke tersebut. Untuk memendekkan cerita, akhirnya pemilik tanah terpaksa menyerahkan tanah beliau kepada tauke itu. Satu lagi yang mengejutkan pemilik tanah adalah kos penambahbaikan yang dituntut oleh tauke. Beliau mendapat tahu kos penambahbaikan yang hampir sama untuk sebuah pasar pagi di sebuah bandar lain adalah jauh lebih rendah. Rupa-rupanya beliau telah ditipu oleh tauke tersebut. Pemilik tanah menghadapi masalah untuk membayar balik kos yang dituntut kerana ia adalah berkali-kali ganda dari yang sepatutnya. Tauke itu juga adalah kontraktor justeru itu dia turut mengaut keuntungan dari kerja-kerja tersebut.

Hari ini sebuah pasaraya telah dibina di atas tapak pasar pagi itu oleh tauke itu. Orang-orang kampung yang sebelum ini mengusahakan hasil-hasil kampung tidak lagi mengusahakannya kerana tidak ada lagi pasar pagi. Sebaliknya mereka menjadi pengawal keselamatan atau menjadi pekerja am di pasaraya itu. Mereka terpaksa bergantung kepada tauke tersebut untuk meneruskan kehidupan.

Mungkin ada yang berkata kisah ini adalah satu cerita dongeng kerana mustahil akan wujud orang yang sebodoh pemilik tanah itu. Tetapi sama ada terdapat kampung, pemilik tanah, anak sulung yang belot atau tauke yang berniat jahat seperti di dalam kisah ini adalah tidak penting. Jalan cerita yang sama telah wujud pada skala yang lebih besar di serata dunia. Bukan di peringkat kampung atau bandar sahaja tetapi di peringkat negara. Perangkap hutang atau ‘debt trap’ ini memang wujud.

Hari ini terdapat negara besar yang menawarkan pinjaman untuk membina projek-projek infrastruktur di negara-negara membangun seperti di Afrika, Asia dan kepulauan Pasifik. Walau bagaimanapun risikonya negara-negara ini mungkin akan gagal membayar balik pinjaman tersebut menurut jadual yang ditetapkan. 

Akhirnya negara-negara membangun itu mungkin terpaksa menyerahkan aset-aset mereka seperti hak perlombongan, pengurusan lapangan terbang atau pengurusan pelabuhan sebagai ganti. Ianya seperti satu perangkap yang sengaja dipasang. Kewujudan pemimpin-pemimpin yang senang disogok juga memudahkan negara besar itu mendapatkan projek-projek tersebut. Ternyata ia adalah penjajahan melalui pintu belakang tetapi kesannya sama. Semoga negara kita tidak terjebak ke dalam ‘debt trap’ ini tetapi cuba kita fikir-fikirkan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Khidmat Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 8/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4950163375002620/

- Advertisement -