Anggota gerakan Islam mesti sedia untuk ditegur

- Advertisement -

TAMBUN: Setiap ahli gerakan Islam hendaklah memiliki sifat berlapang dada ketika menerima teguran terutama daripada sahabat seperjuangan, demikian pesan Ketua Ameerah Kawasan Tambun, Aisyah Husna M Ameer. 

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taujihat di dalam majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa Ameerah Tambun sesi 2021-2023 bertempat di SRITI Al-Istiqamah di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai ahli yang menggerakkan wadah perjuangan PAS, setiap amilin hendaklah sentiasa bersedia untuk menerima teguran, termasuklah juga pemimpin apabila ditegur oleh ahli bawahannya. 

“Apa yang menyebabkan iblis tak boleh masuk syurga? (Kerana) dia berasa diri hebat dan tidak lagi boleh menerima nasihat orang lain. Justeru, saya menyeru kepada diri saya (dan) juga kita semua agar bersedia untuk ditegur. 

“Kita memang (kadang kala) tidak suka ditegur, (tetapi) dengan akhlak Islamiyah, kita perlu bersedia untuk ditegur,” tegasnya sekali lagi dalam ucapan sulung beliau selepas dilantik jawatan itu. 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar Muslimat Muda PAS khususnya di Tambun agar terus komited menyumbang bakti dan kepakaran masing-masing meskipun hanya berperanan sebagai penggerak belakang tabir.

Jelasnya, sifat kebertanggungjawaban untuk menginfakkan diri dalam perjuangan hendaklah difahami kepentingannya bagi mencapai keberkatan gerak kerja jemaah sekali gus membantu PAS menegakkan syiar Islam melalui medan politik. 

“Kita faham, ada dikalangan muslimat muda (ini) yang bekerjaya, suri rumah, mahasiswi dan sebagainya. Namun, usahalah untuk tetap memberi sumbangan dalam gerak kerja yang ada melalui sudut yang kita mampu,” pesannya. – HARAKAHDAILY 8/12/2021

- Advertisement -