210,516 pencarum PERKESO bekerja di sektor penghantaran

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Seramai 210,516 rakyat negara ini yang bekerja dalam sektor penghantaran barangan atau makanan mendaftar sebagai pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 3 Disember lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata mereka yang dikategorikan sebagai Orang Bekerja Sendiri (OBS) mewakili kumpulan paling ramai daripada keseluruhan 348,663 pencarum aktif OBS.

- Advertisement -

Katanya, sektor itu adalah antara pekerjaan ekonomi gig yang mendapat sambutan baik rakyat dan telah menjadi trend semasa untuk dijadikan sebagai kerjaya tetap atau sementara.

“Rakyat juga kini bersaing untuk mendapatkan pekerjaan gig melalui platform tempatan seperti Grab, Lalamove, Food Panda dan sebagainya,” katanya menjawab soalan lisan Hannah Yeow Tseow Suan (PH-Segambut) di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, kerajaan yang prihatin terhadap pekerja ekonomi gig, mengambil langkah aktif dengan menyediakan perlindungan sosial, iaitu Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Katanya, skim itu pada mulanya terpakai secara mandatori kepada pemandu teksi yang bekerja sendiri, tetapi diperluaskan kepada pemandu e-hailing sejak 1 November 2018.

“Menyedari perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan mendapat permintaan, kerajaan mewajibkan pekerja industri ini mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri mulai 1 Oktober lalu.

“Mereka merupakan golongan berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan ketika bekerja. Langkah ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap ekonomi gig yang banyak membantu negara mengekalkan rantaian ekonomi ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, katanya dasar dan undang-undang yang bersesuaian akan dicadangkan setelah kementerian mendapat maklumat menyeluruh bagi keperluan pekerjaan gig.

Katanya, perkara ini dizahirkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan menetapkan jaminan untuk menyokong pembangunan ekonomi gig bagi menggalakkan rakyat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/21

- Advertisement -