16,914 bekas pesakit Covid-19 terima rawatan Long Covid

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Seramai 16,914 bekas pesakit Covid-19 yang discaj dari hospital diberi janji temu dan datang untuk rawatan susulan di kemudahan kesihatan untuk tujuan pemantauan dan menerima rawatan bagi gejala Long Covid.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata kebanyakan pesakit yang dijangkiti Covid-19 akan pulih dan kembali sihat, namun sebilangan kecil akan mengalami keadaan dipanggil Long Covid.

- Advertisement -

Katanya, berdasarkan pemantauan ke atas pesakit, terdapat lima gejala utama yang sering dihidapi pesakit Long Covid, iaitu kelesuan (78.9 peratus), sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu (52.9), batuk (18.1), kesukaran tidur (14.5) dan cemas (10.4).

Sehubungan itiu, katanya beberapa langkah dilaksanakan bagi memastikan bekas pesakit Covid-19 yang mengalami Long Covid mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara.

Katanya, antara langkah berkenaan ialah pesakit Covid-19 yang telah mendapat rawatan akan diberikan janji temu sejurus discaj dari hospital, terutama bagi yang mengalami komplikasi tertentu atau yang dijangkakan mengalami gejala Long Covid.

“Mereka akan diberikan janji temu, sama ada di klinik pakar yang bersesuaian bergantung kepada diagnosis akhir mereka,” katanya menjawab soalan lisan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, pesakit yang turut mempunyai penyakit kronik lain seperti darah tinggi dan diabetes akan diminta meneruskan rawatan susulan di kemudahan kesihatan seperti yang dijadualkan sebelum mereka dijangkiti Covid-19.

Jika tidak mempunyai rawatan susulan biasa, katanya mereka akan dirujuk kepada pakar tertentu dan diberikan janji temu susulan.

“Bekas pesakit Covid-19 juga boleh mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan awam dan swasta berhampiran secara `walk-in jika’ mempunyai sebarang gejala.

“Bagi pesakit yang mengalami gejala yang semakin teruk ketika dalam tempoh pemantauan dan memerlukan rawatan segera, mereka akan dimasukan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga menggariskan strategi kesiapsiagaan dari segi kelengkapan logistik dan tenaga kerja di semua kemudahan kesihatan bagi memberikan akses perubatan yang mencukupi kepada semua bekas pesakit Covid-19. – HARAKAHDAILY 8/12/21

- Advertisement -