1.25 juta daftar MyFutureJobs, 414,399 dapat pekerjaan

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Seramai 1.25 juta pencari kerja berdaftar dengan portal MyFutureJobs sejak dilancarkan pada tahun 2020 hingga 12 November lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata daripada jumlah itu, seramai 414,339 orang pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan.

- Advertisement -

Walaupun baru diperkenalkan, katanya pencapaian portal MyFutureJobs perlu dihargai dan kementerian menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus menambah baik dari semasa ke semasa.

“PERKESO memperkenalkan MYFutureJobs sebagai Portal Pekerjaan Nasional untuk membantu majikan dan pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

“Pada 18 Disember 2019, Kabinet meluluskan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO untuk melaksanakan peranan Perkhidmatan Pekerjaan Awam untuk semua tenaga kerja bagi menggantikan JobsMalaysia,” katanya menjawab soalan lisan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, kerajaan pada 15 Jun tahun lalu, melalui inisiatif PENJANA MyFutureJobs mempunyai mandat untuk menjadi satu Portal Padanan Pekerjaan Nasional yang bertindak sebagai platform pasaran buruh aktif.

Katanya, MYFutureJobs terbuka kepada awam dan boleh dilayari secara percuma, selain tiada sebarang caj dikenakan kepada pencari kerja dan majikan yang berdaftar serta menggunakan portal MyFutureJobs, berbanding penyedia perkhidmatan pekerjaan swasta lain.

Sementara itu, katanya PERKESO membuat keputusan untuk terbabit dalam Skim Insuran Kenderaan Penjawat Awam bagi meningkatkan dana pelaburan.

Menurutnya, tindakan itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 75 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang memperuntukkan wang PERKESO yang tidak digunakan dengan segera hendaklah dilaburkan. – HARAKAHDAILY 8/12/21

- Advertisement -