PM bincang tangani kenaikan kos sara hidup, Khamis ini

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup pada Khamis ini, bagi membincangkan usaha menyeluruh menangani isu kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed, berkata Majlis Tindakan Kos Sara Hidup ditubuhkan pada tahun 2014 dan diaktifkan semula pada tahun 2018.

Advertisement

Menurutnya, pada mesyuarat itu, kementerian berkaitan akan membentangkan tindakan jangka sederhana dan panjang bagi menangani masalah kenaikan harga barangan keperluan.

Katanya, antara perkara dibincangkan ialah pergantungan kepada import, kos kepada input makanan, isu buruh asing, skim subsidi, geran dan pinjaman mudah, pengangkutan dan logistik, teknologi pertanian serta pembangunan dan penyelidikan (R&D).

“Kerajaan sedar bahawa akhir-akhir ini, harga beberapa keperluan asas, terutama ayam, beberapa jenis sayur-sayuran dan ikan meningkat dengan ketara.

“Menyedari masalah ini, Perdana Menteri mengarahkan semua kementerian mengambil tindakan segera bagi menangani isu berkaitan bidang tugas masing-masing,” katanya menjawab soalan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mustapa berkata, pada tahun 2019, kadar inflasi negara cuma 0.7 peratus, manakala pada tahun 2020, Indeks Harga Pengguna menguncup sebanyak 1.2 peratus berikutan pandemik Covid-19 dan harga minyak petroleum yang jatuh mendadak.

Pada suku pertama tahun ini, katanya ekonomi dunia mula menunjuk tanda pemulihan, manakala harga minyak mentah mula meningkat. Berikutan itu, kadar inflasi negara naik kepada 4.7 peratus pada April dan 4.4 peratus pada Mei lalu. Selepas itu, kadar inflasi turun sedikit, tetapi kembali naik kepada 2.9 peratus pada Oktober lalu.

Beliau menolak dakwaan Port Dickson bahawa kerajaan lambat bertindak dan baru hendak bermesyuarat kerana Perdana Menteri telah menggerakkan usaha menangani masalah ini, termasuk pengumuman pada 4 Disember lalu, iaitu memberi kebenaran mengimport ayam bulat sebagai tindakan sementara untuk menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran.

Katanya, Perdana Menteri turut memperuntukkan RM262 juta bagi membantu peladang dan petani yang terjejas akibat kenaikan harga baja dan racun.

Beliau berkata, langkah berkenaan adalah tambahan kepada tindakan jangka pendek yang dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi, ketika menjawab soalan Yang Berhormat Bagan (Lim Guan Eng) pada 30 November lalu.

Katanya, dua lagi tindakan jangka pendek ialah menggerakkan lebih 1,000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) secara harian untuk memantau harga 480 item di 1,500 premis seluruh negara dan memulakan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMP) lebih awal menjelang perayaan Krismas.

“Malah dalam Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM31 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif. Ini termasuk pemberian subsidi petrol RON 95 dan diesel, serta minyak masak dan tepung.

“Sebagai contoh, Bajet 2022 memperuntukkan RM200 juta ringgit untuk membantu mengurangkan harga barang keperluan penduduk luar bandar dan RM400 juta ringgit untuk menstabilkan harga minyak masak,” katanya.

Mustapa berkata, Jabatan Perangkaan yang memantau indeks harga pengguna secara bulanan juga diarahkan membuat pemantauan harian ke atas beberapa keperluan asas dan melaporkan trend perubahan harga barangan tersebut kepada kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/12/21