PASTI Temerloh adakan program bersama Tabung Haji

TEMERLOH: PASTI Kawasan Temerloh buat julung kalinya telah menganjurkan program Warga PASTI Bersama Tabung Haji yang telah dilangsungkan di Maahad Tahfiz Al-Furqan, Paya Pulai, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Aktiviti diadakan bertujuan menjadi sebahagian pendedahan kepada murid-murid PASTI khususnya kepada amalan menabung serta perancangan untuk menunaikan kefarduan ibadah Haji dalam kalangan ibu bapa.

Selain kaunter khas disediakan pihak Tabung Haji Cawangan Temerloh bagi pembukaan akaun, majlis juga dimeriahkan dengan pertandingan mewarna dan kuliah Dhuha oleh Mudir Kompleks Tahfiz Al-Qaradawi (KOMTAQ), Ustaz Kamal Ashaari.

Ketua Pemuda PAS Temerloh, Ustaz Muhammad Shukri Shuib telah hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan yang hadiahnya ditaja oleh pihak Tabung Haji Temerloh.

Pegawai Tabung Haji Temerloh, Mardziana Mohd Nasir menyifatkan penganjuran itu sangat bermanfaat di mana ibu bapa bukan sahaja hadir membuka akaun, malah mendapat perkongsian ilmu dari kuliah yang diadakan.

Sempena majlis ini, pihak Tabung Haji juga membuat promosi pembukaan akaun kepada warga PASTI dengan deposit serendah RM5 dan majlis turut dihadiri Pegawai Tabung Haji Cawangan Maran, Adnan Abu Hasan.

Pengerusi PASTI Temerloh, Ustaz Zulkefli Yusof menyifatkan kehadiran orang ramai terutama dalam kalangan ibu bapa murid PASTI adalah sangat menggalakkan dan mencapai objektif penganjuran. – HARAKAHDAILY 7/12/2021