Kerajaan usaha selesaikan isu jawatan kontrak

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin dapat mencari penyelesaian terbaik berhubung cadangan untuk menaik taraf jawatan kontrak Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) dan Penyelia Guru Agama Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) ke jawatan tetap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad, berkata ini boleh dilakukan melalui perbincangan dengan agensi kerajaan Pusat yang berkaitan.

Advertisement

Katanya, walaupun jawatan PPMD dan penyelia KAFA berstatus kontrak, mereka layak menerima hak dan manfaat perkhidmatan seperti pegawai berjawatan tetap.

“PPMD mula diwujudkan pada tahun 1992 hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (JKI) dengan elaun bulanan 61 orang yang dilantik ketika itu sebanyak RM1,500 seorang.

“Pada tahun 2010, kerajaan bersetuju PPMD diletakkan di bawah status Kontrak untuk Perkhidmatan dengan bayaran elaun bulanan sebanyak RM1,710,” katanya ketika menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri mengemukakan soalan, sama ada kerajaan bercadang untuk melantik PPMD dan Penyelia Guru Agama KAFA ke perjawatan tetap.

Idris berkata, kerajaan pada tahun 2015 bersetuju untuk menaik taraf jawatan PPMD dari Kontrak untuk Perkhidmatan kepada jawatan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29 dengan gaji pokok sebanyak RM1,493 atau RM1,770.95 sebulan.

Katanya, kerajaan juga memberi kenaikan gaji tahunan sebanyak RM145 dan ini melibatkan seramai 173 PPMD hingga sekarang.

Bagi jawatan Penyelia Guru KAFA, beliau berkata sehingga kini terdapat seramai 383 orang Penyelia KAFA berstatus pegawai kontrak gred S19 yang dilantik berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008, Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak yang sedang berkuat kuasa.

Selain itu, katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menyediakan hala tuju Program KAFA yang bertujuan memperkasa program sedia ada, termasuk menambah baik aspek perkhidmatan Penyelia KAFA dengan tumpuan kepada usaha meningkatkan profesionalisme dan jaminan kebajikan.

Katanya, kerajaan mengambil berat isu kebajikan PPMD yang menjadi penghubung antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dalam hal ehwal agama.

Bagaimanapun, katanya perkara ini masih di peringkat rundingan dengan pelbagai pihak, termasuk Jabatan Agama Islam Negeri ((JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) berhubung bidang tugas PPMD, selain beban tugas dan nisbah bilangan PPMD berbanding masjid di setiap daerah. – HARAKAHDAILY 7/12/2021