Isu filem LGBT: YADIM gesa SKMM pantau kandungan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai sebuah siri filem dalam bentuk kandungan digital yang dikatakan berunsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sehubungan itu, Yang Dipertuanya, Nasruddin Hassan menggesa SKMM untuk memantau serta mengambil tindakan terhadap sebarang kandungan digital atau cetak yang berunsurkan LGBT.

- Advertisement -

Hal berkenaan menurut beliau, adalah kerana tidak mahu melihat media sosial di Malaysia menjadi pusat kepada perkara kemungkaran.

“Saya melihat seolah-olah wujud satu trend yang semakin menjadi-jadi, dan menggila dalam kalangan masyarakat kita, yang mengamalkan budaya hidup songsang ini

“(Mereka) bukan setakat menjalani kehidupan dalam situasi begitu, tetapi semakin berani menampilkan gaya hidup mereka melalui filem, lakonan, media sosial, yang dipamerkan serta ditularkan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui HarakahDaily ketika  menghadiri Majlis Pelancaran Skuad Musaadah Keluarga Malaysia di Dataran Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Nasruddin menganggap tindakan segelintir pihak seolah-olah menormalisasikan budaya berkenaan sebagai mencabar kewibawaan undang-undang dan maruah agama Islam yang juga merupakan agama Persekutuan di Malaysia.

Justeru katanya, isu berkenaan akan diberi perhatian yang lebih serius dalam mesyuarat agensi agama ke peringkat pos kabinet untuk diangkat kepada pengetahuan kerajaan.

“(Ini) supaya kerajaan dapat bertindak lebih serius dalam menangani perkara ini kerana kita tidak boleh biar, kerana kalau ianya dibiarkan, peradaban negara akan runtuh, masa depan negara akan rosak dan apa yang palin kita takut ialah dimurkai oleh Allah apabila budaya sebegini tidak dihalang.

“Tentu sahaja pihak berkuasa agama mesti mengambil perhatian serius dan saya percaya mereka juga tidak akan lengah dan tidak akan membiarkan perkara ini berlakulah,” katanya.

Tambah beliau, YADIM sendiri sebagai sebuah agensi dakwah akan mempergiatkan gerak kerja dakwah untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya kepincangan gaya hidup sedemikian.

Menurutnya, masyarakat perlu tahu mengenai bahaya dan implikasi jika hidup dengan budaya berkenaan.

“Selepas itu, kita akan serahkan kepada pihak berkuasa kerana perlu ada penguatkuasaan selain daripada kerja dakwah, tetapi autoriti kami adalah untuk menyampaikan dakwah,’ tegasnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, meminta SKMM menyiasat sebuah siri filem kandungan digital yang dikatakan mempunyai unsur gay yang tentunya bertentangan dengan budaya serta norma kehidupan rakyat Malaysia.

Katanya, sebarang kandungan yang mempunyai unsur seperti LGBT tidak boleh diterima oleh mana-mana agama.

Baru-baru ini, seorang pelakon remaja lelaki Melayu membuat kenyataan media dan mengakui  berlakon dalam siri bertemakan LGBT yang ditayangkan di aplikasi temu janji gay dan penstriman video.

Siri filem itu mencetuskan kontroversi dan menjadi bualan apabila video promosi mengenainya tular di aplikasi TikTok baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -