Hanya pekerja asing Indonesia minat kerja di ladang kelapa sawit

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mengambil pekerja asing selain dari Indonesia untuk memenuhi keperluan tenaga buruh bagi industri sawit negara.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng, berkata ini berikutan pekerja asing dari negara lain kurang berminat terhadap sektor itu yang kebanyakan dimonopoli tenaga kerja dari negara jiran itu.

- Advertisement -

Katanya, kebanyakan pengusaha ladang sawit juga lebih suka mengupah tenaga kerja Indonesia berikutan pengalaman serta kemahiran mereka bekerja di industri itu.

“Bagi negara lain, mereka tidak begitu berminat kerana untuk membawa pekerja asing ke bidang ini juga kena pastikan mereka mampu dan berminat untuk menceburi bidang itu,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli ingin tahu mengenai usaha kerajaan untuk membawa pekerja dari negara lain bagi memastikan kekurangan tenaga kerja dapat diatasi segera.

Menjawab soalan asal Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan), Jeck Seng berkata berdasarkan purata harga Minyak Sawit Mentah (MSM) sebanyak RM4,555 satu tan, nilai kerugian akibat kekurangan guna tenaga pada Ogos tahun ini adalah sebanyak RM14 bilion setahun.

Katanya, anggaran jumlah kerugian ini meningkat sebanyak 56 peratus dan lebih 100 peratus berbanding tahun 2020 dan 2019 yang jumlah kerugian akibat masalah kekurangan guna tenaga, masing-masing dianggarkan sebanyak RM9 bilion dan RM6 bilion setahun.

“Bagi memastikan angka kerugian tidak terus meningkat, kementerian berusaha membawa masuk pekerja asing ke Malaysia bagi mengisi kekurangan guna tenaga. Selain itu, kerajaan sentiasa menyarankan penggiat industri untuk menggunakan mekanisasi dalam proses kerja,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -