Covid-19: 42 pesakit biasa dijangkiti, 21 meninggal dunia di Perlis

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Seramai 42 orang pesakit di Perlis mendapat jangkitan Covid-19 semasa berada di wad dan 21 orang daripada mereka meninggal dunia sehingga 24 November 2021.

Teh Chai Aan (BN-Titi Tinggi) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) pada sesi soalan lisan mengenai bilangan pesakit biasa yang ditahan di wad hospital yang dijangkiti Covid-19 dan bilangan yang meninggal dunia. 

- Advertisement -

“Punca jangkitan Covid-19 yang dikenal pasti adalah berpunca daripada peneman, kontak rapat pesakit dan daripada pesakit lain yang telah dijangkiti (virus berkenaan).

“Tiada kes dikenalpasti berpunca dari petugas kesihatan,” kata Teh Chai Aan (BN-Titi Tinggi) ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) pada sesi soalan lisan sempena pembentangan Bajet 2022 di Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati sebab utama penularan jangkitan disebabkan oleh ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) sama ada semasa berada di hospital atau di luar kawasan hospital serta kesesakan hospital yang teruk semasa kemuncak wabak berkenaan.

Perkara berkenaan dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, berikutan rungutan dari pesakit  yang dikumpulkan di tempat yang sama sementara menunggu keputusan ujian saringan oleh pihak hospital.

“Pesakit yang memasuki unit kecemasan dikumpulkan sementara menunggu keputusan ujian saringan menyebabkan pesakit negatif Covid-19 pun dijangkiti oleh pesakit yang positif.

“Perkara ini menyebabkan ramai pesakit takut untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika mengutarakan soalan tambahan.

Berikutan itu, Chai Aan yang juga Exco Kesihatan Negeri menasihati pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital supaya sentiasa mematuhi SOP bagi mengelakkan virus ini tersebar kepada orang lain. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -