Bina lebuh raya alternatif atasi kesesakan waktu puncak

Wan Hassan Mohd Ramli
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, mencadangkan kepada kerajaan supaya membina lebuh raya alternatif baharu bagi menangani kesesakan lalu lintas pada waktu puncak di lebuh raya.

Katanya, laluan lebuh raya alternatif yang diperlukan ialah Lebuh Raya Selatan-Timur (Johor-Terengganu-Kelantan), Lebuh Raya Timur-Barat (Jeli, Kelantan – Simpang Pulai, Perak) dan Lebuh Raya Karak II sebagai alternatif kepada Lebuh Raya Karak sedia ada.

- Advertisement -

Menurutnya, peningkatan jumlah kenderaan setiap tahun memerlukan kerajaan mengkaji masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak di lebuh raya.

“Kira-kira 32.4 juta kenderaan bermotor direkodkan di negara ini pada tahun lalu, berbanding kira-kira 31.2 juta kenderaan pada 2019. Statistik ini menunjukkan jumlah kenderaan meningkat sebanyak 1.2 juta kenderaan atau 3.8 peratus.

“Berdasarkan pertambahan jumlah kenderaan setiap tahun, adakah Jalan Persekutuan sedia ada sepanjang 17,830 kilometer di seluruh negara dan juga Jalan Negeri mampu menampung kenderaan,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan perlu mengkaji tindakan penyelesaian bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan juga jalan lain.

Menurutnya, pembinaan lebih raya tidak dinafikan memberi keselesaan kepada pengguna, tetapi akan memberi kesukaran pada waktu kesesakan teruk.

Katanya, Kementerian Kerja Raya yang mempunyai Bahagian Perancangan Jalan perlu merancang, melaksana dan menyelia perancangan serta pembinaan jalan raya dan jambatan supaya mematuhi spesifikasi piawaian bermutu tinggi dengan kos ekonomi demi keselamatan dan keselesaan pengguna. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -