AS rasmi boikot diplomatik Sukan Olimpik Beijing 2022

Kementerian Luar China menyelar tindakan kerajaan Amerika Syarikat memboikot secara diplomatik Sukan Musim Sejuk Beijing 2022 dengan mendedahkan tindakan 'boikot diplomasi' itu muncul entah dari mana kerana jemputan belum lagi dikeluarkan pihaknya kepada sebarang ahli politik AS. (FOTO Chinadaily)
- Advertisement -

WASHINGTON: Amerika Syarikat secara rasmi mengumumkan memboikot secara diplomatik Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada tahun 2022 atas alasan pencabulan hak asasi manusia dilakukan China yang dilabelkan AS sebagai ‘kejam’, satu langkah yang disifatkan pula oleh kerajaan China akan disusuli dengan ‘tindak balas tegas’.

Rumah Putih pada hari Isnin (6 Nov) berkata, AS tidak akan menghantar delegasi rasmi ke temasya sukan antarabangsa  itu sebagai protes terhadap pencabulan hak asasi manusia China, termasuk layanan Beijing terhadap Muslim Uighur di wilayah Xinjiang.

- Advertisement -

Setiausaha akhbar Rumah Putih, Jen Psaki berkata, pentadbiran Presiden, Joe Biden telah memutuskan untuk tidak akan menghantar sebarang perwakilan diplomatik atau rasmi ke Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Sukan Paralimpik Beijing 2022 memandangkan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan yang berterusan (di China) di Xinjiang, dan pelanggaran hak asasi manusia yang lain, merujuk kepada laporan Al-Jazeera.

“Perwakilan diplomatik atau rasmi AS akan menganggap acara sukan tersebut sebagai perniagaan seperti biasa dalam menghadapi pencabulan hak asasi manusia yang teruk dan kekejaman China di Xinjiang – dan kami tidak boleh menyokong (pencabulan hak tersebut),” tegas Psaki.

Dia menambah bahawa boikot diplomatik yang telah digalakkan oleh beberapa anggota Kongres AS selama berbulan-bulan, sebaliknya tidak akan menjejaskan kehadiran atlet Amerika, yang mendapat ‘sokongan penuh’ pentadbiran Biden ke acara sukan berkenaan.

Sehubungan itu, kedutaan China di sini menyifatkan tindakan boikot diplomatik AS itu sebagai ‘manipulasi politik’ dan menegaskan bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan acara sukan berkenaan.

“Tiada jemputan telah diberikan kepada ahli politik AS, jadi ‘boikot diplomatik’ ini muncul entah dari mana,” kata jurucakap kedutaan China, Liu Pengyu, lapor Reuters.

“Tindakan berpura-pura seperti itu hanyalah manipulasi politik dan penyelewengan besar semangat Piagam Olimpik,” katanya.

Sebelum pengumuman itu, jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata, mereka yang menyeru untuk memboikot secara diplomatik acara sukan tersebut adalah lebih kepada sikap ‘bermegah’ dan ia harus dihentikan ‘agar tidak menjejaskan dialog dan kerjasama antara China dan Amerika Syarikat dalam bidang-bidang  penting’.

“Jika AS berkeras dengan sengaja berpegang pada prinsipnya itu, China akan mengambil tindakan balas yang tegas,” tegas Lijian pada sidang media, tanpa menghuraikan apakah bentuk tindakan balas tersebut.

Hubungan AS-China tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berhubung beberapa isu termasuk Taiwan, Hong Kong dan layanan China terhadap Uighur di Xinjiang, tetapi Biden dan Presiden China, Xi Jinping menekankan hubungan rapat kedua-dua negara semasa sidang maya pada November lepas.

Biden menggesa komunikasi yang lebih baik dan lebih ‘jujur’ dengan China selepas sidang maya berkenaan, manakala Xi berkata, kedua-dua negara perlu meningkatkan komunikasi dan kerjasama secara  lebih rapat. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -